PKPD: Penduduk Pasar Jalan Othman jalani saringan Covid-19

Petugas KKM membuat persediaan sebelum saringan Covid-19 terhadap penduduk di sekitar kawasan Pasar Jalan Othman hari ini. - Foto Bernama
Petugas KKM membuat persediaan sebelum saringan Covid-19 terhadap penduduk di sekitar kawasan Pasar Jalan Othman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Penduduk di sekitar Pasar Jalan Othman di sini, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mula menjalani ujian saringan wabak koronavirus (Covid-19) kira-kira 4 petang tadi.

Tinjauan mendapati, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) sudah membuat persiapan di pusat saringan seawal jam 1 tengah hari tadi.

Selain itu, difahamkan terdapat kira-kira 2,600 penduduk termasuk warga asing akan menjalani saringan itu yang dijangka mengambil masa selama lima hari.

Dalam pada itu, puluhan penduduk mula dilihat keluar rumah untuk ke pusat saringan Covid-19 bagi menjalani ujian berkenaan secara berperingkat.

Tiga pusat saringan dibuka di tiga zon PKPD berkenaan iaitu Zon A di medan selera manakala Zon B di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Chen Moh dan Zon C bersebelahan terminal bas.

Hari ini, media melaporkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Pasar Jalan Othman (PJO) di sini, menjadi kawasan terbaru dilaksanakan PKPD berkuat kuasa hari ini hingga 23 Mei.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD terbaharu di Pasar Jalan Othman Petaling Jaya

Kawasan berkenaan dikenakan PKPD selepas KKM mengesahkan terdapat 26 kes positif Covid-19 yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan terbabit. - Bernama

Artikel Berkaitan: