X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD terbaharu di Pasar Jalan Othman Petaling Jaya

Kawat duri mulai dipasang di sekitar kawasan Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya, di sini malam tadi.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kawasan Pasar Jalan Othman (PJO) di Petaling Jaya, Selangor menjadi kawasan terbaharu yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), berkuat kuasa mulai hari ini hingga 23 Mei.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesahkan terdapat 26 kes positif koronavirus (Covid-19) yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan terbabit.

“Perintah PKPD ini melibatkan kira-kira 2,900 penghuni kediaman dan premis perniagaan di kawasan berkenaan. Perintah ini akan berkuatkuasa mulai 10 Mei 2020 hingga 23 Mei 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, keputusan kerajaan untuk melaksanakan PKPD kelapan itu adalah atas nasihat Menteri Kesihatan dan ia membabitkan tiga zon:

Zon A​ melibatkan Jalan Penchala; Jalan 4/33; Jalan 4/37; Jalan 4/39; Jalan 4/41; Jalan 4/44; Jalan Terus 4/42; Jalan 4/43; Jalan 4/46 dan Jalan Othman 4/4D.

Zon B​ melibatkan Jalan 2/29; ​ Jalan 2/29A; Jalan 2/27; Jalan 2/32;​ Jalan 2/25; Jalan 2/26; Jalan 2/34; Jalan 2/34A; Jalan 2/23; Jalan Dispensary 2/38 dan​​ Jalan Pasar 1/21.

Zon C​ melibatkan Jalan Selangor; Lorong 3/57D;​ Lorong 3/57C; Jalan RIDA 3/56 dan Jalan Sentosa 3/57.

“Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar. Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh ini berkuatkuasa,” katanya.

Ismail Sabri berkata, dengan pelaksanaan perintah itu, semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD manakala bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan terlibat, sepanjang tempoh perintah itu dikuatkuasakan.

“Selain itu, semua aktiviti perniagaan dihentikan di kawasan tersebut dan Pangkalan Perubatan dibuka di kawasan PKPD. Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD juga ditutup.

Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, susulan pelaksanaan PKPD selama 14 hari itu, semua penghuni diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada para petugas daripada KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

Penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan PKP Petaling Jaya di talian 016-980 9389, atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.

Sebelum ini, PKPD telah dikuatkuasakan di tujuh lokasi iaitu di Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor; Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor; serta empat lokasi di Kuala Lumpur iaitu Menara City One; Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion; Masjid India dan kawasan sekitarnya, serta Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.

Lokasi ketujuh PKPD adalah di Selayang Baru, Gombak di Selangor. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus