Bahaya faraid pengurusan GLC

A
A
A

KITA bukan anti orang politik. Mereka ada peranan. Yang kita tidak mahu ialah mereka terlibat di luar bidang kuasa dan kepakaran. Apatah lagi dalam keadaan ramai daripada mereka apabila diberi tugas dan tanggungjawab telah menyalahgunakannya.

Salah satu keadaan di mana ahli politik sering gelap mata dan terperangkap dengan rasuah apabila diberi peranan dalam agensi-agensi kerajaan, tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Oleh sebab itulah kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika memerintah telah mengawal dan mengehadkan pembabitan ahli politik dalam agensi kerajaan, GLIC dan GLC.

Buktinya jelas sekali. Pengurusan diserahkan kepada ahli profesional yang amanah dan berintegriti, syarikat-syarikat maju dan membuat keuntungan besar untuk kerajaan dan rakyat jelata. Contoh terbaik ialah Permodalan Nasional Berhad (PNB), Petroleum Nasional Berhad (Petronas) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sebaliknya apabila diserahkan kepada orang politik yang tidak amanah, ia menjadi kacau-bilau, rugi dan memakan belanja berbilion ringgit untuk diselamatkan seperti Tabung Haji, Felda, 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Kita harap walaupun kerajaan PH telah ditumbangkan dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menggantikannya menampakkan kecenderungan kembali kepada cara lama dengan melantik ahli politik ke dalam GLC, mereka ini tidak campur tangan sehingga mengganggu pengurusan profesional.

Kita ambil contoh PNB yang ditubuhkan pada 1978 bagi mengambil alih saham-saham yang dipegang oleh kerajaan Pusat dan negeri bagi pihak bumiputera dan mengagihkannya melalui saham amanah yang besar.

Dengan itu lahirlah Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang mula dijual kepada Bumiputera pada 1981. Saya tidak akan lupa peristiwa itu kerana selepas dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri ketika itu, Almarhum Tun Hussein Onn di Kuala Lumpur, saya telah ke Batu Pahat dan sekitarnya bagi melaporkan sambutan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Walaupun sebelum itu telah wujud Skim Amanah Saham Mara tetapi ia tidaklah sebesar ASB. Hari ini ASB bersama-sama dengan saham-saham unit lain yang dilancarkan oleh PNB adalah antara skim pelaburan rakyat yang paling berjaya di dunia dengan seramai 14 juta pemegang akaun.

Maksudnya, dengan permulaan yang sempurna dan pengurusan berwibawa, usaha niaga yang diuruskan oleh bumiputera boleh maju dan berjaya.

Oleh sebab itulah kita mesti sentiasa berjaga-jaga kerana akan ada percubaan oleh kalangan politik untuk campur tangan atau mempengaruhi urusan mereka. Hatta PNB yang bebas politik itu pun turut terpalit dengan politik ketika pilihan raya umum 2018 apabila ia terlibat membantu kempen Barisan Nasional (BN).

Tahun ini dan mungkin juga untuk beberapa tahun akan datang, ekonomi negara dan dunia akan berada dalam keadaan yang sangat sukar. Untuk itu, agensi-agensi ekonomi, GLIC dan GLC memerlukan pengurusan yang profesional dan berwibawa.

Dalam kaitan ini, PNB telah dilaporkan akan mempelbagaikan portfolio pelaburannya supaya lebih luas dan tidak terlalu bergantung kepada pasaran modal tempatan, antaranya ia bercadang menambah pelaburan luarnya kepada 30 peratus dalam masa tiga tahun hingga 2022.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Jalil Rasheed dilaporkan berkata, di bawah Plan Strategik 2020-2022, PNB akan mempelbagaikan pelaburannya ke dalam tabung-tabung hartanah dan modal persendirian.

Jadi, kita berharap sangatlah tindakan memfaraidkan jawatan lembaga pengarah agensi-agensi ekonomi, GLIC dan GLC dalam kalangan orang politik dan proksi mereka seperti yang sedang berlaku sekarang tidak sampai merosakkan pengurusan profesional. Tolonglah.

Wallahuaklam.

* A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara