Warga Nepal disyaki kemurungan ditemukan maut dengan kesan kelar

No Image Caption
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang lelaki warga Nepal ditemukan maut dengan berlumuran darah dan kesan kelar di bahagian leher dipercayai akibat perbuatannya sendiri di sebuah rumah di Flat Taman Tanjung Indah, Mak Mandin di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa dikenali sebagai Rajaram Chaudhry yang berusia 22 tahun meninggal dunia dalam keadaan meniarap di bahagian anjung luar rumah iaitu asrama kediamannya yang turut menempatkan seramai 10 warga Nepal, sejak tiga bulan lalu.

"Polis menerima panggilan daripada seorang wanita menyatakan salah seorang pekerjanya ditemui cedera parah pada jam 11.30 malam. Mayat ditemukan dalam keadaan berpakaian lengkap namun beg duit; jam, barang kemas dan telefon tidak ditemui pada tubuhnya. Pemeriksaan luaran mendapati ada kesan luka besar di bahagian leher mangsa. Bagaimanapun, tangan dan bahagian anggota badan lain tiada kesan luka.

"Pisau sepanjang 26 sentimeter (cm) ditemui kira-kira 10 cm dari mayat mangsa. Terdapat kesan darah bermula dari bahagian dapur, menghala ke bilik dan kemudiannya ke bahagian ruang tamu hadapan sehingga tempat mangsa ditemui. Terdapat kesan tapak kaki dipercayai milik mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati mangsa telah mengelar lehernya sendiri setelah didapati mengalami kemurungan sejak tiga hari lalu.

"Hasil soal siasat rakan serumah mangsa, mereka mendakwa mangsa dilihat seperti kemurungan sejak dua tiga hari lalu namun tidak tahu puncanya. Bagaimanapun, mangsa telah mengelar lehernya sendiri di rumah tersebut.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan pada jam 10.30 pagi tadi mengesahkan kematian mangsa berpunca daripada kecederaan hirisan pada leher menggunakan objek tajam seperti pisau. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Artikel Berkaitan: