ADUN pukul isteri: Tunggu siasatan polis - Kon Yeow

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan menunggu hasil siasatan polis berhubung laporan terhadap seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa memukul isterinya sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu merupakan kes polis dan pihak kerajaan negeri tidak akan mengulas lanjut berhubung kes berkenaan buat masa ini.
“Tak ada apa-apa. Ini sudah kes polis," katanya ketika ditemui di pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada Selasa.
Mengulas mengenai status ADUN terbabit yang masih menjalankan tugas, Kon Yeow berkata, perkara itu tidak perlu dibangkitkan pada waktu ini.
“Ada orang dihadapkan (ke) mahkamah, (pun) masih bertugas,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan sama ada kerajaan negeri akan mengambil sebarang tindakan terhadap ADUN berkenaan sebaliknya menegaskan bahawa perkara itu perlu ditangani mengikut proses undang-undang.
Terdahulu, media melaporkan, poli menerima laporan berhubung dakwaan seorang ADUN di sini memukul isterinya baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim berkata, siasatan berhubung kes itu masih dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, polis memanggil empat individu yang juga ahli keluarga untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, isu berkaitan lanjutan tempoh masa yang diberikan kepada pemaju tapak pelupusan sampah Jelutong akan dijawab dalam persidangan DUN.
“Akan dijawab juga dalam Dewan nanti. Apa guna Dewan kalau tak ada jawapan?” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

