Pulau Pinang perlu perkasa EMS untuk kepelbagaian industri, kompleksiti ekonomi - Reezal Merican

GEORGE TOWN- Pulau Pinang perlu mengurangkan kebergantungan kepada industri elektrik dan elektronik (E&E) semata-mata dengan membangunkan industri pelengkap bernilai tinggi berasaskan kekuatan sedia ada negeri itu.
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (UMNO-Bertam) berkata, satu strategi kepelbagaian industri Pulau Pinang yang komprehensif perlu dibangunkan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri lebih mampan dan berdaya tahan.
Menurutnya, strategi itu bukan bertujuan untuk beralih daripada sektor E&E sebaliknya memperkukuh industri pelengkap yang mampu meningkatkan nilai tambah, pemilikan teknologi dan daya saing syarikat tempatan.
"Strategi berkenaan perlu mengambil kira keselarasan dengan sektor strategik Belanjawan Negeri 2027, kekuatan ekosistem perindustrian sedia ada, trend pelaburan langsung asing (FDI) serta penyusunan semula rantaian bekalan global selain dilengkapi garis masa dan sasaran yang boleh diukur.
"Antara keutamaan ialah meningkatkan kedudukan Pulau Pinang dalam rantaian nilai teknologi menerusi Penang Silicon Design @5km+ dan Penang Chip Design Academy yang menerima peruntukan RM120 juta bagi tempoh lima tahun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas Belanjawan Pulau Pinang 2027 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Selasa.
Tambah bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, inisiatif itu menyasarkan penghasilan 1,000 jurutera reka bentuk IC, dengan lebih 400 tenaga mahir telah dilatih dan jumlah syarikat reka bentuk IC meningkat daripada kira-kira 25 kepada lebih 50 syarikat.
Bagaimanapun, katanya, keupayaan teknologi tempatan perlu dipertingkatkan bagi mengukuhkan pemilikan harta intelek (IP) memandangkan firma Malaysia hanya merekodkan 34 pemfailan paten semikonduktor domestik di Amerika Syarikat daripada kira-kira 678 pemfailan antara 2012 hingga 2020.
"Sektor Perkhidmatan Pembuatan Elektronik (EMS) turut berpotensi menjadi industri pelengkap utama, merangkumi kejuruteraan produk, pemesinan berketepatan tinggi, pengujian dan integrasi sistem.
"Pasaran EMS global dianggarkan bernilai RM2.18 trilion pada 2024 dan dijangka meningkat kepada RM3.70 trilion menjelang 2032," ujarnya.
Katanya lagi, Pulau Pinang perlu memperkukuh pemain EMS tempatan dengan mengambil iktibar daripada kejayaan VS Industry dan SKP Resources selain memastikan pelaburan syarikat antarabangsa seperti Plexus dan Benchmark Electronics membawa pemindahan teknologi serta peluang lebih besar kepada pembekal perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
"Antara industri pelengkap lain yang perlu diberi perhatian ialah teknologi perubatan dan peranti perubatan (MedTech), kejuruteraan berketepatan tinggi, mesin dan automasi, aeroangkasa dan avionik serta teknologi hijau dan ekosistem kenderaan elektrik (EV).
"Pulau Pinang mempunyai asas kukuh dalam sektor berkenaan termasuk sumbangan RM40.4 bilion daripada eksport mesin, peralatan dan komponen negara pada 2024 serta kehadiran enam syarikat utama dunia dalam industri peranti perubatan," katanya.
Dalam sektor halal pula, beliau mengalu-alukan penubuhan Penang Halal Industry Development Council, cadangan Taman Perindustrian Halal Pulau Pinang dan Pelan Induk Industri Halal Pulau Pinang 2026-2030.
"Pulau Pinang merekodkan perdagangan halal RM7.68 bilion pada 2025, termasuk eksport RM4.28 bilion, selain mempunyai kira-kira 253 pengeksport halal yang mewakili 16.2 peratus daripada keseluruhan pengeksport halal negara.
"Empat keutamaan perlu dilaksanakan bagi memperkukuh industri halal negeri iaitu meningkatkan kesediaan eksport PMKS, mengembangkan industri halal bernilai tinggi, menyediakan kemudahan perniagaan sehenti serta menetapkan sasaran eksport yang boleh diukur," jelasnya.
Beliau berkata, kejayaan kepelbagaian industri Pulau Pinang tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah pelaburan atau pensijilan semata-mata tetapi melalui peningkatan pemilikan teknologi, penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global dan pertambahan pengeksport yang mampan.
“Strategi ini bukan bertujuan untuk beralih daripada sektor E&E, tetapi membina industri-industri pelengkap bernilai tinggi berasaskan kekuatan sedia ada negeri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

