Kemelut politik Kedah: UMNO desak campur tangan kerajaan PN

 Jamil Khir Baharom
Jamil Khir Baharom
A
A
A

ALOR SETAR - UMNO Kedah mendesak kerajaan Perikatan Nasional supaya campur tangan dalam menyelesaikan kemelut politik Kedah yang dilihat merugikan rakyat negeri ini ketika berdepan cabaran koronavirus (Covid-19).

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kelemahan dan keretakan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Kedah kini jelas kelihatan dan sukar dibendung lagi dengan kenyataan terbaru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee.

Beliau berkata, kenyataan Dr Robert memperlihatkan ketidakpuasan hati pihaknya dan dilihat sudah tidak sehaluan dengan kepimpinan PH Kedah.

"Kemelut politik Kedah masih tidak bergerak ke mana-mana, sedangkan semua negeri telah dinoktahkan kepimpinannya seiring kerajaan Pusat selepas kejatuhan kerajaan PH.

"Rakyat Kedah memerlukan kepimpinan yang boleh menumpukan sepenuh tenaga untuk mendepani pandemik Covid-19 ditambah pula suasana Ramadan dan Syawal bakal menjelma tidak lama lagi," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurutnya, bantuan makanan dan keperluan lain perlu disalurkan kepada semua lapisan masyarakat dan segenap pelusuk negeri atas nama kerajaan memerintah.

"Jika pemimpin terlalu banyak berpolitik dan bercakaran dengan menghabiskan masa serta tenaga bersaing sesama sendiri, mereka akan hilang keupayaan memimpin yang mana kesan kesusahan ditanggung rakyat Kedah," katanya.

Jamil Khir berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah bukan sahaja menghadapi konflik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), malah parti itu turut berhadapan dengan kehangatan pemilihan parti.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, malang sekali perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku di kala negara berdepan dengan pandemik Covid-19 dan rakyat pula memerlukan bantuan berterusan.

Katanya, kenyataan Pas Kedah yang membayangkan ada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR bertukar rakan kerjasama akan mengurangkan jumlah kerusi penguasaan PH.

"Kenyataan ini bukan sahaja menjadi kerisauan Pas semata-mata tetapi turut dirasai bersama UMNO Kedah. Apapun suasananya keadaan politik ketidaktentuan ini merugikan Kedah dan rakyatnya," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kesediaan Pas untuk mengambil alih pentadbiran Kedah daripada kerajaan PH campur Bersatu yang dipimpin Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ia susulan kenyataan Dr Robert yang kecewa dengan tindakan PKR yang memecat dan menggantung keahlian beberapa anggota parti itu di saat negara berdepan wabak Covid-19 yang dilihat tidak kena pada masanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas sedia ketuai pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah

Tindakan pecat ahli PKR tak kena masa