X

Kindly register in order to view this article
!

KPDNHEP siasat aduan kenaikan harga sayur di Perak

KPDNHEP Perak menjalankan siasatan berhubung aduan awam berkaitan kenaikan harga barangan dan sayuran. - Foto KPDNHEP Perak
A
A

LUMUT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak menjalankan siasatan terhadap aduan awam berkaitan kenaikan harga sayuran dan barangan keperluan.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, V Ravichandran berkata, berdasarkan aduan itu, sebanyak 31 Notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 telah dikeluarkan terhadap peniaga terlibat.

“KPDNHEP Perak juga akan mengeluarkan notis kepada peniaga untuk mengemukakan sebab perubahan harga serta dokumen pembelian daripada pembekal untuk melengkapkan siasatan.

"Tindakan tegas akan dikenakan kepada peniaga yang didapati mencatut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian negeri bagi menstabilkan bekalan sayuran sekali gus memastikan pengguna dapat membeli pada harga yang berpatutan.

Sementara itu, Ravichandran berkata, pihaknya turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM2,000 terhadap seorang peniaga kerana gagal mempamerkan tanda harga ke atas tepung pulut yang dijualnya di sebuah premis runcit di Sitiawan di sini kelmarin.

Katanya, kesalahan itu dikesan ketika pasukan penguat kuasa KPDNHEP Manjung menjalankan pemeriksaan pada jam 1 petang.

“Maklumat awal diterima daripada orang awam yang membuat aduan mengenai sebuah premis yang menjual tepung pulut pada harga tinggi iaitu RM7.50 sepeket semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu menjual tepung pulut pada harga berkenaan tetapi gagal meletakkan tanda harga pada barangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan telah diambil mengikut Perintah 3(1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Oleh Penjual Runcit) 1993.

Pada masa sama, Ravichandran turut memaklumkan bahawa bekalan barang keperluan asas seluruh negeri adalah mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB.

“Tiada laporan diterima berkaitan pembelian panik namun kita menerima 361 aduan dan memeriksa 4,261 premis perniagaan. Sebanyak 11 tindakan telah diambil membabitkan keseluruhan kompaun berjumlah RM8,600.

“Pengguna juga boleh menyalurkan aduan dengan menghubungi Bilik Gerakan KPDNHEP Perak di talian 05-2414611,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus