PBBPP kecualikan kadar sewa premis

Penyewa premis di Bukit Bendera diberi pengecualian kadar sewa 100 peratus untuk tiga bulan bermula Mac lalu.
Penyewa premis di Bukit Bendera diberi pengecualian kadar sewa 100 peratus untuk tiga bulan bermula Mac lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) mengambil dua inisiatif bagi meringankan beban fiskal penyewa untuk meneruskan aktiviti perniagaan di Bukit Bendera.

Dalam kenyataan medianya, PBBPP berkata, peniaga diberi pengurangan kadar sewa sebanyak 50 peratus bagi Januari dan Februari serta pengecualian kadar sewa 100 peratus bagi Mac, April dan Mei.

Menurut PBBPP, ia merupakan bantuan kepada penyewa lot komersial susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam menangani kesan wabak koronavirus (Covid-19).

"Penularan wabak Covid-19 memberi kesan kepada kesihatan rakyat dan aktiviti ekonomi di seluruh negara termasuk Pulau Pinang. Sejak Januari lalu, jumlah pengunjung yang melawat Bukit Bendera merosot akibat daripada wabak tersebut.

"Semua aktiviti komersil di Bukit Bendera terjejas setelah PKP dilaksanakan bermula 18 Mac lalu dalam usaha untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 di negara ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri yang juga Pengerusi PBBPP, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif yang diambil itu diharap dapat membantu peniaga untuk memulihkan perniagaan mereka termasuk melindungi mata pencarian rakyat.

Menurutnya, usaha itu adalah untuk membina semula ekonomi yang mampan, berdaya saing serta menjamin pekerjaan kepada rakyat.

Terdahulu, PBBPP mengumumkan perkhidmatan funikular Bukit Bendera ditutup sementara untuk pengunjung bermula 18 Mac sehingga PKP tamat.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, perkhidmatan tersebut akan dibuka secara terhad kepada penduduk Bukit Bendera sepanjang tempoh penutupan itu.