NGO cerita kebaikan Jakel yang tidak diketahui umum

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel (tengah) bersama Muhammad Haiqal (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada orang istimewa dalam satu Majlis Pelancaran Koleksi Baju Raya 2019 bersama Duta Jakel tahun lepas.(Gambar kecil: Muhammad Haiqal)
Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel (tengah) bersama Muhammad Haiqal (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada orang istimewa dalam satu Majlis Pelancaran Koleksi Baju Raya 2019 bersama Duta Jakel tahun lepas.(Gambar kecil: Muhammad Haiqal)
A
A
A

ALOR SETAR - Badan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Pembangunan Masyarakat Malaysia hari ini tampil berkongsi keprihatinan Jakel kepada masyarakat yang tidak diketahui umum.

Pengasasnya, Muhammad Haiqal Hazani Abdullah, 34, beliau terpanggil untuk menceritakan kebaikan itu selepas kontroversi kempen ‘Boikot Jakel’ yang dilancarkan oleh netizen di media sosial.

Katanya, Jakel banyak memberikan sumbangan dan kebajikan khususnya untuk golongan istimewa sepertinya namun ia cuba disembunyikan dan tidak diketahui ramai.

"Sejak 2016, Jakel banyak membantu orang kurang upaya (OKU) penglihatan melalui sumbangan wang dan baju raya bagi membolehkan orang istimewa seperti kami meraikan Syawal dengan lebih bermakna.

"Beliau cuba menyembunyikan amalan dilakukan ibarat tangan kanan memberi, tangan kiri tidak boleh tahu hingga ramai tidak mengetahui kebaikan yang dilakukan oleh Jakel," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Taman Intan, di sini, hari ini.

Katanya, sehingga kini, kira-kira 1,000 OKU penglihatan termasuk ahli keluarga mendapat sinar baharu kerana bantuan Jakel.

"Kami amat gembira dengan kebaikan Jakel, jadi kami orang istimewa sedih apabila masyarakat cuba melancarkan kempen memboikot Jakel," katanya.

Muhammad Haiqal berkata, beliau mengambil keputusan mendedahkan perkara berkenaan untuk kebaikan bersama dengan harapan tiada lagi salah faham yang akan berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Dalam hal ini, Jakel tidak perlu dipersalahkan hingga ada yang sanggup melakukan kempen memboikot perniagaan tekstil tersebut atas tindakan dilakukan ahli keluarganya baru-baru ini," katanya.

Bekas Ahli Parlimen Belia Kedah itu berkata, beliau terpaksa bersuara kerana sedih mendengar situasi berkenaan.

"Pada bulan mulia ini, saya berharap semua orang dapat memaafkan antara satu sama lain dan menerima permohonan maaf beliau, sekali gus membuka lembaran baharu," katanya.