SPRM siasat dakwaan syarikat dapat kontrak RM30 juta

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil beberapa syarikat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mendapat kontrak secara tidak layak bagi menyediakan kelengkapan makmal yang dianggarkan bernilai RM30 juta.

Sumber SPRM berkata, antara pihak yang dipanggil adalah termasuk sebuah syarikat pembinaan yang didakwa memperolehi projek pembinaan makmal Kementerian Kesihatan.

“Siasatan terarah kepada proses pelantikan kontraktor bagi setiap perolehan untuk memastikan ia dilaksanakan tanpa rasuah, salah guna kuasa dan perlu mematuhi undang-undang serta peraturan ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, sumber itu menafikan dakwaan SPRM melakukan tangkapan ke atas pegawai kementerian.

"Berita mengenai SPRM telah membuat tangkapan ke atas mana-mana pegawai kementerian adalah tidak benar. Jika ada maklumat boleh terus salurkan kepada SPRM," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi meminta agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung dakwaan tersebut.

“Sebarang bentuk spekulasi akan mengganggu siasatan dan menjatuhkan imej organisasi dan individu yang ditohmah. Siasatan sedang dijalankan dan biarlah SPRM menjalankan tanggungjawab," katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan SPRM menyiasat sebuah syarikat yang didakwa secara tidak layak mendapat kontrak kelengkapan makmal dianggarkan bernilai RM30 juta.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba sebelum ini mengumumkan kesediaan pihaknya bekerjasama dengan SPRM termasuk dalam memastikan warga kementerian sentiasa menitikberatkan nilai integriti sepenuhnya.

"KKM sentiasa memantau dan memastikan jati diri serta integriti warga KKM berada pada tahap yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian berhubung dakwaan seorang peguam, Wee Choo Keong mengenai kes melibatkan kementerian itu yang menganugerahkan projek pembinaan makmal bernilai RM30 juta.

Bagaimanapun, syarikat itu turut didakwa merupakan sebuah syarikat pemaju hartanah dan tidak layak diberikan kontrak tersebut.

Selain itu, Choo Keong turut mendakwa KKM memberikan syarikat yang sama, kontrak pembekalan sut peralatan perlindungan diri (PPE).

ARTIKEL BERKAITAN: KKM sokong usaha SPRM basmi rasuah, penyelewengan