Mangsa hadir ke balai polis bagi kes kecemasan diberi kelonggaran etika berpakaian - Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR - Pengadu atau mangsa yang hadir ke balai polis bagi kes kecemasan dan situasi memerlukan bantuan segera diberi kelonggaran daripada pematuhan terhadap etika berpakaian, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Isnin.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, menerusi surat edaran pada 29 Disember lepas, ketetapan memberi kelonggaran itu berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan hak mangsa atau pengadu yang terlibat dalam kes-kes memerlukan tindakan segera dan pertimbangan khas tidak dinafikan.
Beliau berkata, antara kes diberikan pengecualian pematuhan etika berpakaian termasuklah kes jenayah, kemalangan jalan raya, ancaman keselamatan serta kes tertentu yang berpotensi mendatangkan tekanan emosi atau trauma seperti rogol, samun, cabul dan keganasan rumah tangga.
"Dalam keadaan sedemikian, kebajikan dan keselamatan pengadu adalah keutamaan dan tidak seharusnya dihalang oleh isu pematuhan etika berpakaian.
"Maklumat berhubung ketetapan tersebut telah disampaikan kepada semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) melalui surat edaran Jabatan Pengurusan PDRM bertarikh 29 Disember 2025,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.
Langkah itu, beliau berkata, bagi memastikan pelaksanaan yang seragam, jelas dan difahami oleh semua pegawai terlibat serta berkuat kuasa serta-merta di seluruh negara.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) berhubung cadangan memperkenalkan undang-undang untuk mewajibkan semua balai polis di seluruh negara menerima laporan polis daripada orang awam tanpa mengambil kira keadaan pakaian mereka.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, kementerian berpandangan bahawa arahan pentadbiran yang telah dikeluarkan itu mencukupi dan tiada keperluan untuk menggubal undang-undang baharu berkaitan perkara tersebut.
Beliau berkata, arahan berkenaan selaras dengan Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bilangan 1 Tahun 2025 mengenai pemantapan pengurusan perhubungan pelanggan sektor awam yang memberi ruang kepada kementerian dan agensi kerajaan menetapkan etika pemakaian bersesuaian mengikut fungsi serta keperluan perkhidmatan masing-masing, khususnya bagi urusan di kaunter dan pejabat. - Bernama
Ringkasan AI
- Mangsa kecemasan di balai polis dibebaskan daripada etika berpakaian
- Ketetapan ini berkuat kuasa serta-merta melalui surat edaran 29 Disember lepas
- Keselamatan dan kesejahteraan pengadu adalah keutamaan
- Pengecualian etika pakaian untuk kes jenayah, kemalangan, dan trauma
- Tidak memerlukan undang-undang baru, arahan pentadbiran sedia ada dianggap mencukupi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
