Covid-19: Daerah zon hijau meningkat kepada 111

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Zon hijau yang bebas daripada kes aktif koronavirus (Covid-19) di seluruh negara meningkat kepada 111 daerah.

Ia termasuk dua daerah di Pulau Pinang iaitu Seberang Perai Tengah dan Barat Daya yang sebelum ini masing-masing mempunyai dua kes aktif telahpun pulih sekaligus menjadikan negeri itu yang kelima bebas daripada kes aktif Covid-19.

No Image Caption

Bagaimanapun menerusi data yang dikeluarkan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan, zon merah meningkat satu daerah menjadikannya 10.

Daerah Petaling yang sebelum ini diletakkan di bawah zon kuning kembali diisytihar sebagai zon merah apabila kes aktif di kawasan tersebut meningkat kepada 52 kes berbanding semalam 39 kes.

Sebanyak 80 daerah diletakkan di bawah zon kuning dengan bilangan kes aktif sekitar satu hingga 40 kes.

No Image Caption

Sementara itu, data CPRC Kebangsaan turut membuat pecahan kawasan di Putrajaya yang mempunyai 86 kes positif wabak itu.

Artikel Berkaitan:

Namun daripada 20 Presint, hanya tiga sahaja yang masih mempunyai kes aktif.

Ia melibatkan Presint 1 (12 kes), Presint 3 dan Presint 8 masing-masing satu kes aktif.

Pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu kini diletakkan di bawah zon kuning.

Sekitar Kuala Lumpur, empat mukim masih berada di dalam zon merah iaitu Ibu Kota (155 kes), Batu (71 kes), Kampung Baru (67 kes) dan Sri Petaling (48 kes).

No Image Caption

Sebelum ini, Perlis, Kelantan, Kedah dan Perak bebas Covid-19 selepas kesemua kes aktif telah pulih sepenuhnya.

Setakat ini seramai 1,764 pesakit Covid-19 sedang dirawat di hospital.

Malaysia merekodkan jumlah kumulatif kes sebanyak 6,353 kes positif sejak pandemik itu melanda negara pada 25 Januari lalu.