Aktiviti edar dadah melalui laman e-dagang terbongkar

Ramli (tengah) menunjukkan botol yang dirampas disyaki mengandungi dadah.
Ramli (tengah) menunjukkan botol yang dirampas disyaki mengandungi dadah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 17 individu termasuk seorang wanita ditahan kerana dipercayai mengedar cecair vape yang mengandungi dadah jenis ganja dan ketamin melalui laman e-dagang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, kesemua individu yang berusia 20 hingga 56 tahun ditahan berasingan dalam Ops Slayer pada 29 dan 30 April lalu.

"Mereka yang ditahan itu terdiri daripada pekerja bank, penghantar barangan, pelajar institut pengajian tinggi swasta dan penganggur.

"Tangkapan itu adalah berdasarkan aduan orang awam mengenai aktiviti penjualan cecair disyaki dadah di tiga laman e-dagang," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Ramli berkata, pengedar itu menggunakan laman web berkenaan untuk mempromosikan produk yang disyaki mengandungi dadah.

"Kita merampas 195 botol disyaki ganja, 20 botol disyaki ketamin, dadah jenis ganja seberat 3.25 gram dan syabu seberat 0.8 gram. Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM58,400," katanya.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati lima suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah.

"Saringan awal urin mendapati dua daripada suspek positif dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ramli berkata, trend pengedaran dadah sebegini pernah berlaku pada tahun 2015 sebelum polis berjaya menumpaskan sindiket berkenaan.

"Kini trend ini muncul kembali sejak 18 Mac lalu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 akta yang sama.