Rancang majlis nikah meriah, akhirnya sendirian di rumah

Nur Yasmin bersama suaminya Abul Aass selamat menjalani akad nikah online pada 27 April.
Nur Yasmin bersama suaminya Abul Aass selamat menjalani akad nikah online pada 27 April.
A
A
A

CYBERJAYA - Pasangan pengantin Nur Yasmin Mohd Khairuddin, 28 dan Abul Aass Mohd Nasir, 30, bersyukur kerana mereka selamat dinikahkan melalui dalam talian kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis akad nikah itu berwalikan bapa Nur Yasmin, Mohd Khairuddin Abdul Wahab yang berada di Shah Alam pada 27 April lalu.

Nur Yasmin ketika itu bersendirian di rumah sewanya di Puchong, suaminya ditemani rakan serumah berada di Cyberjaya, manakala jurunikah dan saksi pula dari Pejabat Agama Sepang.

Pasangan itu sepatutnya bernikah pada 18 April lalu namun terpaksa akur berikutan arahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hanya membenarkan perkahwinan dalam talian susulan pelaksanaan PKP akibat wabak koronavirus (Covid-19).

Nur Yasmin yang bekerja sebagai pereka grafik mengakui walaupun akad nikah dijalankan dalam suasana agak santai dan tiada tetamu tetapi beliau tetap berdebar serta gemuruh.

"Saya tidak dapat membayangkan bagaimana acara nikah tu akan dijalankan. Tapi Alhamdulillah JAIS memberi bimbingan dan kami mengikut sahaja arahan itu," katanya kepada Sinar Harian.

Yasmin di Puchong selamat bernikah dengan suaminya yang berada bersama rakan serumah di Cyberjaya berwalikan bapanya di Shah Alam.
Yasmin di Puchong selamat bernikah dengan suaminya yang berada bersama rakan serumah di Cyberjaya berwalikan bapanya di Shah Alam.

Artikel Berkaitan:

Menurut Nur Yasmin, pada mulanya dia dan suami bercadang melangsungkan perkahwinan selepas Aidilfitri tetapi kemudian sepakat meneruskan perkahwinan selepas JAIS membenarkan pernikahan dalam talian.

"Idea kami mendapat restu kedua ibu bapa dan pejabat agama terus beri tarikh nikah hari sama permohonan dibuat iaitu pada 23 April.

"Sokongan keluarga dan rakan juga menggembirakan kami walaupun tidak dapat bertemu," katanya.

Nur Yasmin mengakui sedih kerana tidak dapat bersalam dan memeluk keluarga tetapi tetap bersyukur kerana majlis akad nikah dalam masa tujuh minit itu berjalan lancar dan akan jadi pengalaman terindah dalam hidupnya.

"Tak pernah terfikir langsung akan nikah sendirian macam tu di rumah. Saya rancang majlis kecil-kecilan macam orang lain selalu buat tapi meriah. Saya percaya ada hikmahnya," katanya.

Bercerita detik percintaan mereka, kata Nur Yasmin beliau bertemu di kedai basikal milik suaminya di Cyberjaya dan hobi menunggang basikal menguatkan lagi cinta mereka.

"Dari situ kami berkenalan, beriadah dan melakukan aktiviti berbasikal yang akhirnya timbul perasaan cinta. Selepas berkenalan selama setahun, kami terus buat keputusan untuk hidup bersama," katanya bertugas di Cyberjaya.