Seruan supaya hukuman keras dikenakan ke atas pemandu mabuk

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KETIKA kita dengar kerajaan akan berusaha mengetatkan hukuman ke atas pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol, seorang lagi anggota polis menjadi korban terbaharu dilanggar pemandu mabuk pada Ahad lalu.

Ketika kita mendapat tahu Kementerian Pengangkutan sedang menunggu pandangan daripada pelbagai pihak seperti pihak perundangan, kesihatan dan keselamatan untuk merangka bentuk hukuman baharu bagi pesalah, pemandu mabuk terus berkeliaran di atas jalan raya hingga meragut nyawa orang.

Pada jam 2 pagi 3 Mei lalu, Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan selepas dihempap kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sendiri menyifatkan kejadian itu amat memilukan lebih-lebih lagi ia berlaku pada bulan Ramadan.

Buat masa ini, hukuman bagi pemandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kematian adalah denda minimum RM8,000 dan maksimum RM20,000 dan penjara minimum tiga hingga maksimum 10 tahun.

Minum sampai mabuk sambil memandu dan melanggar mangsa hingga mati adalah suatu perbuatan yang cukup kejam. Ia sememangnya tidak boleh dihukum dengan wang ringgit. Sebaliknya hukuman penjara perlu menunggu mereka yang bersalah.

Di negara-negara lain, kalau pemandu mabuk sehingga menyebabkan kematian, ada yang dikenakan hukuman penjara puluhan tahun malahan ada yang dikenakan penjara seumur hidup.

Undang-undang di negara kita nampaknya terlalu ringan. Akibatnya, ada yang tidak kisah dan terus melupakan keselamatan pengguna jalan lain.

Artikel Berkaitan:

Kini terserahlah kepada kerajaan. Bertindaklah segera agar jangan ada lagi nyawa yang melayang oleh pemabuk yang tidak bertimbang rasa.