'Koperal Safwan anggota biasa tapi kematiannya luar biasa'

Fadzil menyerahkan Panji Sang Saka Biru kepada bapa Allahyarham, Muhammad Ismail.
Fadzil menyerahkan Panji Sang Saka Biru kepada bapa Allahyarham, Muhammad Ismail.
A
A
A

SHAH ALAM - "Beliau anggota biasa tetapi kematiannya luar biasa." Demikian luah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat terhadap pemergian Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31.

Menurutnya, pemergian Allahyarham yang meninggal ketika dirempuh pacuan empat roda ketika melakukan sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), membuktikan kesetiaan dan pengorbanan terhadap negara.

Terdahulu, Fadzil mewakili Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mengiringi jenazah Koperal Safwan ke Ipoh, Perak untuk urusan pengebumiannya selepas semua prosedur Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diselesaikan kira-kira jam 2.30 pagi tadi dan tiba kira-kira jam 5.30 pagi di Tanjung Rambutan, Ipoh, Perak.

Fadzil turut meluahkan rasa sebak ketika melihat ayah Koperal Safwan, Muhammad Ismail Othman, 60, yang mengusap wajah jenazah anak beliau sambil bertasbih menguatkan semangatnya sendiri.

"Apabila tiba di tanah perkuburan, hati saya mula rasa sarat melihat keluarga dan adik-adik arwah sudah sedia menunggu. Bapa arwah merupakan bekas anggota pasukan komando 69 (VAT69), juga berada di situ," katanya sambil memberitahu bapa arwah hanya menunggu di Tanjung Rambutan berikutan faktor kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis maut dirempuh pemandu mabuk ketika SJR

Arwah sempat kongsi detik tahun ke-11 berkhidmat

Koperal Safwan selamat dikebumi dengan istiadat polis

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu turut mengagumi bapa Allahyarham yang amat tertib ketika bertutur biar pun keadaan kesihatan yang tidak berapa mengizinkan dan dengan bertasbih, jenazah Allahyarham diusap bapanya buat kali terakhir.

"Menitik air mata saya, sumpah, memang sebak.

"Di samping itu, saya tak tahu apa bauran rasa yang ada dalam diri beliau (ayah arwah Koperal Safwan) semasa saya serahkan Panji Sang Saka Biru.

"Di bawah panji itulah beliau membesarkan sembilan orang anaknya dan di bawah panji itu jugalah seorang anaknya dikembalikan semula kepada ALLAH Azzawajalla," kata beliau.

"Kepada arwah, kita sedekahkan bacaan al-Fatihah. Semoga tenang dan damai di sana dalam pelukan rahmat ALLAH dan semoga diterima sebagai seorang syuhada," katanya lagi.