X

Kindly register in order to view this article
!

Koperal Safwan selamat dikebumi dengan istiadat polis

Pengebumian Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan dijalankan dengan istiadat polis.
A
A

IPOH - Jenazah Koperal Safwan Muhammad Ismail yang maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika bertugas mengawal sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan jam 6 pagi ini.

Upacara pengebumian Allahyarham Safwan, 31, dilaksanakan dengan penuh adat istiadat polis yang dihadiri lebih 300 orang termasuk ahli keluarga, saudara-mara dan rakan sejawat.

Turut hadir pada upacara berkenaan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat; Komander Unit 69 Komando, Senior Asisten Komisoner Abdul Razak Mohd Yusoff dan Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Shahrul Zaman Yahya mewakili kerajaan negeri.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan dari Hospital Serdang, Selangor sekitar jam 5.20 pagi diiringi 25 kenderaan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat menyerahkan panji polis kepada bapa Allahyarham, Muhammad Ismail Othman, 60.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat menyerahkan panji polis kepada bapa Allahyarham, Muhammad Ismail Othman, 60.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim meluangkan masa menziarahi keluarga Allahyarham di kediaman mereka di Taman Jaya Delima, Tanjung Rambutan sekitar jam 9 malam tadi.

Turut hadir, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman.

Ibu Allahyarham, Norriza Mat Sani, 53, menyiram air di pusara anaknya.
Ibu Allahyarham, Norriza Mat Sani, 53, menyiram air di pusara anaknya.

Allahyarham yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas dirempuh oleh sebuah pacuan empat roda disyaki dipandu oleh pemandu mabuk dalam kejadian berhampiran di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas).

Kejadian kira-kira jam 2.11 pagi itu menyebabkan kenderaan pacuan empat roda terbabit terbalik dan menghempap mangsa yang ketika itu bertugas di sekatan jalan raya Op Covid-19 berhampiran plaza berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis maut dirempuh pemandu mabuk ketika SJR

Arwah sempat kongsi detik tahun ke-11 berkhidmat


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus