Kes sita barang Najib, Rosmah 19 Mei depan

Najib dan Rosmah.
Najib dan Rosmah.
A
A
A

KUALA LUMPUR- Prosiding kes pelucutan hak barangan yang dikemukakan kerajaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, keluarganya dan beberapa yang lain, dijadualkan semula ke 19 Mei untuk pengurusan kes

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Catherine Nicholas memberitahu Bernama, bahawa semua pihak yang terlibat telah dimaklumkan mengenai tarikh baharu itu menerusi e-mel.

Mahkamah sebelum ini menetapkan hari ini untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan tetapi dilapangkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan.

Pada 7 Mei, 2019, kerajaan melalui pihak pendakwaan memfailkan notis usul berhubung pelucutan hak terhadap ratusan barangan termasuk beg tangan pelbagai jenama, jam tangan, beberapa hartanah, aset dan 27 buah kenderaan yang dirampas daripada Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, tiga anak mereka dan 13 individu serta syarikat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita barangan berkenaan pada 17 Mei, 11 Jun dan 2 Ogos 2018, yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 3 Februari 2020, Mohamed Zaini membenarkan permohonan oleh Najib, Rosmah dan anak perempuan mereka, Nooryana Najwa, memeriksa secara fizikal barang yang disimpan di peti besi di Bank Negara Malaysia (BNM).

Mohamed Zaini memerintahkan pendakwa raya membenarkan Najib dan ahli keluarganya memeriksa secara fizikal barang berkenaan dan memutuskan bahawa mereka perlu diberi peluang untuk memeriksa barang yang disita itu.

Pada 22 Februari 2020, mereka ke BNM dan melakukan pemeriksaan berkenaan lebih tiga jam.

Artikel Berkaitan:

Najib menfailkan notis usul pada 18 Julai 2019 atas alasan sebahagian daripada kandungan kotak-kotak, beg serta bekas simpanan yang menjadi sebahagian daripada harta alih yang dirampas telah dikeluarkan daripada bungkusan asalnya dan ia menyebabkan kekeliruan bagi membuat pengecaman terhadap harta alih berkenaan.

Rosmah dan Nooryana Najwa pula mengemukakan permohonan sama pada 19 Julai bagi mendapatkan butiran lengkap dan memeriksa barangan yang disita.

Antara barangan yang dinyatakan dalam kedua-dua notis tersebut ialah 315 beg tangan pelbagai jenama, 14 utas jam tangan dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta wang tunai pelbagai mata wang asing antaranya wang tunai RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750 dan Pound Sterling 320,500.-Bernama