Anak Zahid Hamidi, suami dituduh di mahkamah Selasa ini

Hantaran dalam Instagram Nurul Hidayah
Hantaran dalam Instagram Nurul Hidayah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurul Hidayah dan suami, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff yang didakwa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dituduh di mahkamah Selasa depan.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

"Keputusan itu diputuskan Jabatan Peguam Negara.

"Kedua-dua mereka akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur hari Selasa," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Terdahulu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) JSJ Bukit Aman dan kedua-duanya telah diambil keterangan pada 24 April lalu.

Siasatan mendapati Datuk Nurul Hidayah memuat naik gambar di Instagram dengan beberapa kapsyen mengenai pertemuannya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad.

Susulan itu katanya, kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan pihaknya sudah mendapat arahan untuk menuduh kedua-duanya mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.3) 2020 dalam masa terdekat.

Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihatkan tidak cuba menimbulkan kegusaran dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat seolah-olah Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengambil tindakan di atas dakwaan pelanggaran itu.

Artikel Berkaitan:

"Tiada sesiapa pun yang akan terlepas daripada dikenakan tindakan jika didapati dengan sengaja melanggar undang-undang negara," katanya.