525 kilogram daun ketum dirampas PGA

Antara guni berisi daun ketum yang dirampas PGA dalam dua operasi berasingan di Padang Besar, Perlis kelmarin.
Antara guni berisi daun ketum yang dirampas PGA dalam dua operasi berasingan di Padang Besar, Perlis kelmarin.
A
A
A

PADANG BESAR - Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas daun ketum seberat 525 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM15,750 dalam dua serbuan berasingan di daerah ini, kelmarin.

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, serbuan pertama jam 3.30 petang dilakukan anggotanya selepas mengesan sebuah Pajero mencurigakan yang dinaiki dua lelaki di hadapan sebuah rumah kosong.

"Menyedari kehadiran anggota PGA, suspek bertindak memecut laju kenderaan terbabit.

"Susulan itu, pemeriksaan lanjut telah dilakukan di rumah kosong tersebut dan menjumpai 10 guni mengandungi daun ketum seberat 250kg dianggar bernilai RM7,500," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Bagi kes kedua, Abdul Ghani memberitahu, operasi kira-kira jam 5.30 petang berjaya membawa serbuan ke kawasan ladang getah dan merampas 11 guni berisi daun ketum seberat 275kg dianggarkan bernilai RM8,250.

Katanya, rampasan itu susulan anggotanya mengesan sekumpulan lelaki mencurigakan membawa guni tersebut.

"Kumpulan lelaki terbabit bagaimanapun berjaya melarikan diri ke kawasan berhampiran selepas mengesan kehadiran anggota operasi," katanya.

Jelasnya, kesemua rampasan bagi kedua-dua kes berkenaan telah dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.