Kebebasan akhbar harus selari dengan prinsip kebenaran, keadilan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan komited dalam menegakkan kebebasan akhbar dan pada masa sama kebebasan tersebut harus selari dengan prinsip kebenaran dan keadilan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, dalam era teknologi maklumat abad ke-21, akhbar bukan sahaja berperanan menyebarkan maklumat yang telus tetapi melindungi masyarakat daripada penularan maklumat palsu yang boleh menggugat kestabilan dan keharmonian negara.

"Saya bangga dengan pencapaian Malaysia dalam indeks kebebasan media Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) dengan Malaysia melonjak 22 anak tangga ke tempat 101 dalam kalangan 180 negara tersenarai dalam indeks terkini.

"Kita perlu berusaha untuk bukan saja meningkatkan kedudukan negara dalam indeks antarabangsa tetapi meletakkan peranan akhbar dalam pendekatan partisipatori bersama pemegang taruh lain iaitu kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil sebagai rakan kongsi pembangunan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin turut menzahirkan penghargaan kepada para wartawan yang merupakan tonggak utama membawa infomasi terkini dan sahih kepada masyarakat serta mengucapkan selamat menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia kepada golongan wartawan dan pengamal media di seluruh Malaysia.

Beliau turut mengingatkan mengenai tanggungjawab menegakkan kebebasan wartawan dalam menjalankan tugas dengan baik serta menjunjung prinsip dan amalan etika kewartawanan.

Sejak diisytihar oleh Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 1993, Hari Kebebasan Akhbar Sedunia disambut pada 3 Mei setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kebebasan akhbar.

Tahun ini tema sambutan adalah ‘Kewartawanan Tanpa Rasa Takut Atau Berpihak’. - Bernama

Artikel Berkaitan: