Perlukah ada Akta Bantuan Covid-19?

Suasana Pasar Chow Kit di Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur yang diarah tutup sehingga 13 Mei ini akibat wabak Covid-19. -Foto Bernama
Suasana Pasar Chow Kit di Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur yang diarah tutup sehingga 13 Mei ini akibat wabak Covid-19. -Foto Bernama
A
A
A

PADA 29 April lalu, Majlis Peguam ada mencadangkan supaya kerajaan menggubal satu undang-undang baharu untuk melindungi entiti perniagaan tempatan yang terkesan akibat pandemik koronavirus (Covid-19) apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020.

Mengikut Presiden Majlis Peguam, Salim Bashir, undang-undang baharu itu perlu dilaksanakan sebelum PKP dibatalkan.

Cadangan Majlis Peguam itu sebenarnya bukan perkara baharu kerana sebelum ini sudah ada beberapa pihak lain mengemukakan cadangan yang serupa.

Ada pengamal undang-undang yang mencadangkan kita meneliti semula Akta Syarikat 2016 (Akta 777) untuk melihat bagaimana kita boleh membantu syarikat yang diburu pemiutang akibat mereka terpaksa tutup kedai setelah PKP dikuatkuasakan.

Ada juga yang mencadangkan kita ikut jejak Singapura. Pada 1 April lalu, pemerintah republik itu membentangkan Rang Undang-Undang Covid-19 (Langkah-Langkah Sementara) di Parlimen untuk membantu entiti perniagaan di negara itu yang terkesan oleh pandemik.

Seorang sahabat turut mencadangkan kerajaan Malaysia mewujudkan satu shield law baharu untuk melindungi buat sementara waktu syarikat tempatan daripada diheret ke mahkamah oleh pemiutang-pemiutang disebabkan kegagalan mereka mematuhi kontrak dengan rakan niaga masing-masing disebabkan PKP.

Kontraktual

Wajar juga kita lihat apa yang berlaku di China. Mengikut akhbar Financial Times, negara itu mengeluarkan sijil force majeure (force majeure certificates atau FMC) kepada syarikat pengeksport yang gagal melaksanakan kewajipan kontraktual kepada syarikat pembeli asing.

Artikel Berkaitan:

Antara syarikat di negara itu yang diberi FMC termasuklah syarikat besi keluli, elektronik, pembuat kereta dan pembekal alat ganti kereta.

Satu laporan Reuters pada Mac lalu menyatakan bahawa Majlis Promosi Perdagangan Antarabangsa China (CCIPT) mengeluarkan 5,637 FMC bernilai 503.5 bilion yuan (RM312 bilion).

Perkembangan di Perancis juga menarik perhatian kita. Mengikut laporan media negara itu, kerajaan Perancis mengumumkan mana-mana syarikat di negara itu yang gagal melaksanakan kontrak perolehan dengan kerajaan disebabkan Covid-19 tidak akan dikenakan penalti.

Mengikut Menteri Ekonomi dan Kewangan Perancis, Bruno Le Maire, pandemik Covid-19 adalah satu kes force majeure untuk syarikat-syarikat perniagaan di negara itu.

Istilah force majeure yang merupakan bahasa Perancis bererti ‘kuasa besar‘ (superior force) ditakrif dalam Artikel 1218 Kanun Sivil negara itu sebagai ‘satu kejadian di luar kawalan, tidak boleh diramalkan dan sama sekali tidak boleh dielakkan'.

Mengikut pakar undang-undang, istilah itu mengandungi tiga elemen penting iaitu tidak boleh dielakkan, tidak boleh diramalkan, dan satu halangan sebenar (irresistibility, unpredictability, a real impediment).

Apa yang menjadi masalah bagi kita adalah bahawa tidak ada prinsip am force majeure di Malaysia yang boleh melindungi entiti perniagaan sekiranya satu pandemik seperti Covid-19 melumpuhkan negara.

Mengikut kes-kes mahkamah, satu peruntukan khas force majeure mesti diwujudkan (disebutkan) dalam dokumen kontrak sewaktu pihak-pihak ini menandatangani kontrak mereka. Satu peruntukan khas seperti itu mesti ada dinyatakan dalam dokumen kontrak untuk melindungi mereka sekiranya mereka melakukan pecah kontrak.

Untuk melindungi diri mereka di bawah fasal-fasal force majeure ini, pihak yang melakukan pecah kontrak perlu membuktikan wujud tiga keadaan – satu, ada kejadian atau malapetaka di luar kawalan mereka; dua, kejadian itu menghalang, melambatkan dan menyusahkan pelaksanaan kontrak; dan tiga, pihak itu telah mengambil segala langkah yang munasabah untuk mengelak terkesan dengan kejadian itu.

Terkesan

Pada 27 Mac 2020 lalu, Presiden Donald Trump menandatangani satu undang-undang baharu di Amerika Syarikat bernama Akta Bantuan Koronavirus, Relief dan Sekuriti Ekonomi (ringkasnya CARES Act).

Matlamat utama akta baharu itu adalah untuk memberi bantuan segera dan penjagaan kesihatan kepada individu, keluarga dan entiti perniagaan yang terkesan dengan pandemik koronavirus.

Sewaktu rang undang-undang itu digubal, kerajaan berniat memberi bantuan kewangan sebanyak AS$500 bilion (RM2.1 trilion) kepada rakyat negara itu, pinjaman AS$208 bilion (RM894 bilion) kepada industri besar, dan pinjaman AS$300 bilion (RM1.3 trilion) kepada perniagaan kecil.

Setelah perundingan diadakan antara kepimpinan Demokrat dengan Republikan, peruntukan tersebut dinaikkan lagi sehingga AS$2 trilion (RM8.6 trilion).

Mengikut penganalisis ekonomi, undang-undang baharu Amerika Syarikat itu memberi bantuan (pakej rangsangan) yang terbesar dalam sejarah negara itu, iaitu kira-kira 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS.

Ia jauh lebih besar daripada peruntukan AS$831 bilion (RM3.6 trilion) pakej rangsangan yang diluluskan pada tahun 2009 ekoran Kemelesetan Besar (Great Depression) negara.

Selain membuat peruntukan bagi penjagaan kesihatan awam, undang-undang baharu itu juga memberi perlindungan (relief) kepada entiti perniagaan dan pertubuhan dalam bentuk pinjaman, kredit cukai, penangguhan cukai, potongan cukai, kemudahan pengangguran, geran pelajar, pinjaman pelajar, pelan persaraan dan akaun persaraan, akaun simpanan kesihatan dan tele-kesihatan.

United Kingdom juga bertindak cepat menggubal undang-undang Covid-19 yang baharu pada Mac lalu. Undang-undang itu, yang diberi nama Akta Koronavirus 2020, telah mendapat perkenan raja pada 25 Mac 2020 lalu.

Ia memberi kuasa darurat kepada kerajaan United Kingdom, tetapi (berbeza dengan CARES Act di Amerika Syarikat) ia tidak memberi bantuan kewangan besar dan kemudahan-kemudahan yang lain.

Dua negara Komanwel lain melakukan tindakan sama: Australia meluluskan Akta Omnibus Pakej Tindak Balas Ekonomi Koronavirus 2020 dan Kanada meluluskan Akta Tindak Balas Kecemasan Covid-19 2020.

Nampaknya Malaysia tertinggal jauh ke belakang. Kita dimaklumkan Parlimen akan bersidang pada 18 Mei ini. Soalnya, apakah ada masa untuk satu undang-undang Covid-19 baharu dibentangkan, dibahaskan dan diluluskan?

* Profesor Datuk Dr Salleh Buang ialah Pakar Undang-Undang