Jaga hubungan baik dengan Singapura

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman hari ini meminta semua pihak terlibat agar tidak sewenang-wenangnya melakukan sebarang tindakan provokasi bagi menjaga hubungan baik antara Malaysia dan Singapura.

Mengulas mengenai hubungan diplomasi antara Malaysia dan Singapura susulan isu sempadan maritim berhampiran Tuas serta isu ruang udara Pasir Gudang, Anifah meminta pihak yang tidak mempunyai maklumat serta latar belakang yang kukuh untuk tidak memberikan komen tanpa memikirkan kesan daripada tindakan seperti itu.

"Singapura adalah satu daripada rakan Malaysia yang sering menjadi sekutu yang rapat dalam memperjuangkan pendirian dalam isu-isu multilateral dan antarabangsa di mana Malaysia dan Singapura mempunyai nilai-nilai persamaan.

"Nilai dan elemen seperti inilah yang perlu diambilkira dalam menjalinkan hubungan diplomatik yang sihat. Janganlah kerana keegoan kita memusnahkan apa yang telah dibina selama ini," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Anifah, yang kini Ahli Parlimen bebas Kimanis, berkata, beliau merasa terpanggil untuk menyampaikan pandangan berkaitan isu dua hala antara Malaysia dan Singapura yang telah menjadi berita sensasi dalam media kedua-dua negara.

Kenyataannya juga berkongsi peranan yang dimainkan oleh Wisma Putra termasuk di sebalik tabir dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam mengurus hubungan dua hala dengan negara tetangga sebelum ini.

Malaysia dan Singapura dalam proses menyelesaikan pertikaian ruang udara dan maritim antara kedua-dua negara yang berlaku sejak Oktober lepas.

Setakat ini, kedua-dua pihak berjaya mengatur perbincangan untuk menyelesaikan pertikaian yang berlaku semasa pertemuan dua hala antara kedua-dua Menteri Luar iaitu Datuk Saifuddin Abdullah dan Dr Vivian Balakrishnan pada 8 Januari.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua pihak bersetuju untuk menggantung pelaksanaan Kawasan Larangan oleh Malaysia di Pasir Gudang, Johor dan pelaksanaan prosedur Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) oleh Singapura untuk Lapangan Terbang Seletar.

Kedua-dua tempoh penggantungan serta merta itu adalah selama sebulan.

Mengenai isu maritim berkaitan had pelabuhan Johor Bahru dan Singapura, kedua-dua negara bersetuju untuk menubuhkan kumpulan kerja yang akan mengkaji dan membincangkan isu perundangan dan operasi untuk meredakan keadaan di lapangan dan menyediakan asas untuk perbincangan dan rundingan lanjut.

Saifuddin dalam sidang medianya di Putrajaya semalam berkata hubungan Malaysia-Singapura kekal baik meskipun memerlukan rundingan lanjut dalam beberapa perkara. - Bernama