Lima ahli geng Shafiq curi motosikal diberkas

Arifai (empat kiri) menunjukkan hasil rampasan komponen motosikal di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di sini, hari ini.
Arifai (empat kiri) menunjukkan hasil rampasan komponen motosikal di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di sini, hari ini.
A
A
A

GOMBAK – Polis menumpaskan sindiket mencuri motosikal dikenali sebagai Geng Shafiq selepas menahan lima lelaki yang menjalankan kegiatan itu di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 20 dan 27 tahun.

"Melalui tangkapan itu polis berjaya menyelesaikan sembilan kes curi motosikal di sekitar Gombak sejak Mac lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di sini, hari ini.

Arifai berkata, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Selayang telah menahan seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan pada jam 2 pagi, di sini.

“Hasil pemeriksaan, kita mendapati maklumat berkaitan jual beli komponen motosikal di dalam telefon bimbit suspek. Polis kemudian menahan seorang lagi lelaki di Kampung Laksamana Batu Caves. Hasil soal siasat ke atasnya, kita berjaya menahan seorang rakan suspek di sebuah rumah di Kampung Nakhoda Batu Caves.

"Polis turut merampas beberapa komponen motosikal yang telah dileraikan di dalam rumah itu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kemudian menahan pula seorang lelaki dalam serbuan di sebuah apartmen di Kepong.

“Kita menjumpai sebuah motosikal jenis Yamaha 125 LC yang tidak sempurna di ruang tamu rumah itu, semakan mendapati motosikal itu juga dilaporkan hilang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Arifai berkata, tangkapan terakhir adalah pada jam 6 pagi pada hari sama, seorang lelaki ditahan di sebuah pangsapuri di Kampung Laksamana Batu Caves.

“Kita turut merampas beberapa lagi komponen motosikal yang telah dileraikan dalam serbuan itu,” katanya.

Kesemua suspek direman empat hari bermula kelmarin sehingga esok bagi membantu siasatan, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.