Tarikh EPL terus jadi tanda tanya

No Image Caption
A
A
A

LIGA Perdana Inggeris (EPL) masih belum mempunyai tarikh tepat saingan tersebut akan disambung semula selepas ditangguhkan pada 13 Mac lalu akibat pandemik Covid-19.

Menurut satu kenyataan dari Liga Perdana, pihaknya hanya menunggu keputusan daripada pihak berkuasa mengenai tarikh sesuai untuk menyambung semula saingan EPL itu.

"Kami sudah melakukan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan dan juga pasukan yang terlibat semalam. Mereka semua sekali lagi menyatakan komitmen mahu menamatkan saingan musim ini.

"Namun, dari segi tarikh kami belum mendapatkan kepastian dan perlu menunggu kata putus daripada pihak berkuasa," katanya.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan saingan EPL akan kembali bersambung pada bulan ini dan bakal dilangsungkan secara tertutup.

Dalam pada itu, pihak Liga Perdana juga sekali lagi menekankan soal keselamatan menjadi perkara utama sebelum liga disambung semula.

"Apa yang pasti semua kelab masih mengutamakan mengenai keadaan kesihatan semasa dan hanya akan kembali berlatih apabila pihak berkuasa membenarkannya dan di bawah nasihat pakar perubatan," katanya.

Saingan EPL hanya berbaki sembilan perlawanan dengan Liverpool kini mendahului liga dengan perbezaan 25 mata di atas Manchester City dan hanya memerlukan dua lagi kemenangan untuk muncul juara liga.

Artikel Berkaitan:

EPL bakal berdepan kerugian besar sekiranya liga tidak disambung semula apabila terpaksa membayar kembali jutaan ringgit kepada penyiar rasmi liga tersebut.