Sukma 2024: Terengganu sasar 75 pingat emas

Ahmad Samsuri menyarungkan jaket sukan ketika menyempurnakan Majlis Perhimpunan Kontinjen Sukma Terengganu 100 Hari Menjelang Sukma XXI di Wisma Darul Iman pada Rabu.
Ahmad Samsuri menyarungkan jaket sukan ketika menyempurnakan Majlis Perhimpunan Kontinjen Sukma Terengganu 100 Hari Menjelang Sukma XXI di Wisma Darul Iman pada Rabu.
A
A
A

TERENGGANU menaruh harapan untuk merampas kedudukan juara dengan menyasarkan 75 pingat emas pada kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) XXI di Sarawak yang akan berlangsung pada 17 hingga 25 Ogos depan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya optimis atlet ditampilkan dalam kejohanan itu dapat mengembalikan semula kemenangan yang kali terakhir dirangkul ketika berentap di Perak pada tahun 2018.

Menurutnya, kesemua atlet kini telah memasuki fasa akhir persiapan dengan memberi fokus terhadap memperbaiki semua kekurangan dan kelemahan di samping memperkukuh aspek kerohanian.

"Terengganu akan menghantar seramai 1,076 termasuk atlet dan pegawai bagi menghadapi temasya sukan terbesar peringkat nasional itu nanti.

"Kita juga akan mengambil bahagian dalam 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan. Kita memutuskan untuk tidak menyertai sukan bola keranjang atas beberapa faktor," katanya pada Majlis Perhimpunan Kontinjen Sukma Terengganu 100 Hari Menjelang Sukma XXI di sini pada Rabu.

Ahmad Samsuri (tiga dari kiri) menyampaikan watikah kepada Tun Ahmad Faisal yang dilantik sebagai ketua kontinjen (chief de mission) dalam temasya sukan itu nanti.
Ahmad Samsuri (tiga dari kiri) menyampaikan watikah kepada Tun Ahmad Faisal yang dilantik sebagai ketua kontinjen (chief de mission) dalam temasya sukan itu nanti.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyempurnakan penyampaian watikah kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak yang dilantik sebagai ketua kontinjen (chief de mission) dalam temasya sukan itu nanti.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut mengingatkan atlet supaya menjaga kesihatan dan keselamatan terutama ketika menjalani latihan berintensiti dan berimpak tinggi di luar negeri.

Artikel Berkaitan:

"Semua pun tahu dimana kekuatan negeri Terengganu antaranya acara berbasikal, pelayaran dan olahraga pun kita tidak kurang hebat. Kita juga ada sukan-sukan baharu yang diberi fokus untuk mendapat pingat," ujarnya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Tertinggi Sukma secara rasmi bersetuju menawarkan penganjuran sejumlah 488 acara untuk temasya Sukma Edisi Sarawak 2024.

Jumlah tawaran acara terbahagi kepada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 acara campuran atau terbuka untuk 37 jenis sukan yang dipertandingkan itu.

Terengganu pernah merekodkan gelaran naib juara dalam sukan yang sama apabila mengumpul 64 emas, 49 perak dan 55 gangsa menerusi temasya Sukma edisi ke-20 atau dikenali sebagai Sukma edisi XX di Kuala Lumpur pada 2022.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!