Reda jualan susut sehingga 70 peratus

Ahmad Nazri (kiri) melayan pelanggan yang datang ke gerainya untuk mendapatkan lokan.
Ahmad Nazri (kiri) melayan pelanggan yang datang ke gerainya untuk mendapatkan lokan.
A
A
A

PASIR PUTEH - Setiap kali tibanya bulan Ramadan, deretan gerai-gerai di Kuala Semerak di sini yang menjual pelbagai jenis hidupan moluska seperti lala, lokan, tijah, tiram dan kerang menjadi tumpuan orang ramai serta pengusaha kedai makan untuk mendapatkan bekalan tersebut.

Mana tidaknya, lala, lokan, tijah tiram dan kerang merupakan kudap-kudapan yang enak dimakan bersama keluarga sebaik sahaja selesai menunaikan solat tarawih.

Namun sejak penularan wabak pandemik koronavirus (Covid-19) yang memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian penyakit itu telah memberikan kesan kepada peniaga di kawasan berkenaan.

Seorang peniaga, Ahmad Nazri Sidek, 36, berkata, sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu pendapatannya mulai menyusut hampir 70 peratus termasuklah sepanjang tempoh seminggu di bulan Ramadan.

Suasana di Kuala Semerak yang lengang dan kebanyakkan gerai ditutup.
Suasana di Kuala Semerak yang lengang dan kebanyakkan gerai ditutup.

"Kebiasaannya masuk sahaja bulan Ramadan, kebanyakan peniaga di sini tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan bagi mendapatkan bahan mentah itu.

"Namun sejak PKP kehadiran pelanggan di Kuala Semerak untuk membeli lala, lokan, tijah, tiram dan kerang mulai berkurangan. Hal ini kerana sebelum PKP kebanyakan pelanggan datang dari seluruh pelusuk negeri termasuklah Besut dan Jertih, Terengganu," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun beliau reda dan berlapang dada dengan apa yang sedang berlaku ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau percaya ada hikmah yang tersembunyi di sebalik semua ini.

"Sungguhpun begitu, saya masih bersyukur kerana dapat berniaga seperti biasa berbanding mereka yang terpaksa 'berehat' sementara sepanjang PKP.

"Hasil jualan ini dapatlah saya gunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga sepanjang PKP," katanya.

Tanpa berselindung, Ahmad Nazri mendedahkan sepanjang PKP peniaga turut berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan bahan mentah itu ekoran pencari hidupan tersebut tidak dapat keluarga bekerja.

Katanya, disebabkan itu harga bahan mentah itu meningkat antara 50 sen hingga RM1 untuk sekilogram.

Sementara itu tinjauan Sinar Harian mendapati hanya tiga daripada 10 gerai yang beroperasi di kawasan berkenaan.

INFO

Lala RM7 (1kg)

Tijah RM5 (1kg)

Tiram RM5 (1kg)

Lokan RM 3 (1kg)

Kerang bulu (RM12-RM14 1kg bergantung kepada saiz).