Cikgu Azmi kongsi ilmu menerusi kuliah 'online'

Cikgu Azmi menyifatkan perkongsian ilmu menerusi kuliah online juga sebagai satu ibadah dalam menyebarkan kebaikan.
Cikgu Azmi menyifatkan perkongsian ilmu menerusi kuliah online juga sebagai satu ibadah dalam menyebarkan kebaikan.
A
A
A

SHAH ALAM - Ramadan pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi ruang bukan sahaja untuk masyarakat meningkatkan lagi amal ibadah mereka tetapi ia juga menyemarakkan lagi amalan perkongsian ilmu di antara masyarakat itu sendiri.

Figura yang begitu aktif menjalankan projek-projek misi kemanusiaan, Mohd Azmi Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi dilihat turut memanfaatkan Ramadan kali ini dengan berkongsi ilmu menerusi siri kuliah secara dalam talian pada setiap hari di Facebook rasminya.

Beliau berkata, Kuliah Bersiri Bicara Madrasah Ramadan itu banyak mengupas pelbagai topik berkaitan Ramadan untuk dihayati dan diambil iktibar oleh semua.

“Setiap siri kuliah ini saya beri penekanan agar semua pengikut Facebook saya dapat bermuhasabah dan berusaha memperbaiki diri dengan meningkatkan keimanan kepada ALLAH.

“Maklum balas diterima menunjukkan rata-rata pengikut suka mendengar pesanan-pesanan daripada perkongsian kuliah 'online' saya kerana mengakui jiwa mereka berasa lebih ‘terisi’ serta damai,” katanya kepada Sinar Harian.

Cikgu Azmi (kanan) mengedarkan bantuan makanan keperluan kepada penduduk Kampung Pondok Batu Hampar, Merbok Kedah.
Cikgu Azmi (kanan) mengedarkan bantuan makanan keperluan kepada penduduk Kampung Pondok Batu Hampar, Merbok Kedah.

Menurutnya, beliau gembira apabila matlamat perkongsian ilmu itu benar-benar sampai dan ia juga satu ibadah untuk memberi kebaikan kepada orang lain dalam bentuk nasihat.

Selain itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) itu berkata, Ramadan kali ini turut diimarahkannya dengan aktiviti solat tarawih bersama isteri, Masadah Sajadi, 62, anak lelakinya, Salman Siddiqy, 36, menantu serta tiga cucu berusia antara satu hingga lapan tahun.

Artikel Berkaitan:

“Enam anak yang lain semua berada jauh, ada di India, Madinah serta di Kuala Lumpur. Alhamdulillah, walaupun ada seorang sahaja anak di sini, kami masih dapat bertarawih bersama di rumah, bertadarus serta bertadabbur al-Quran, ia sudah cukup baik,” katanya yang tinggal di Kampung Merbok, Kedah.

Katanya, selain ibadah, amalan baik lain yang dibuat adalah dengan membantu mengedarkan bantuan makanan Covid-19 kepada golongan memerlukan di sekitar kampungnya.

Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, sayuran serta ulam-ulaman amalan pemakanan sepanjang berpuasa,

“Saya memang jaga soal makan atas faktor kesihatan, selain kerana tidak mahu ‘berasa berat’ untuk beribadat terutamanya pada sebelah malam. Bila makan lebih banyak sayuran, badan juga terasa lebih segar dan cergas sepanjang hari,” katanya.