Road to Arafah #QuranHour kongsi ilmu, panduan haji

Road To Arafah #QuranHour anjuran WUIF, memberi perkongsian ilmu ibadah haji kepada para jemaah, bakal dan alumni haji di platform Facebook World Quran Hour dan Sinar Islam Plus bermula 15 Jun ini.
Road To Arafah #QuranHour anjuran WUIF, memberi perkongsian ilmu ibadah haji kepada para jemaah, bakal dan alumni haji di platform Facebook World Quran Hour dan Sinar Islam Plus bermula 15 Jun ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengajak semua jemaah haji, bakal haji, dan alumni untuk mengikuti program Road to Arafah #QuranHour secara dalam talian di platform Facebook World Quran Hour dan Sinar Islam Plus pada jam 9 pagi setiap hari bermula 15 Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, Road to Arafah #QuranHour merupakan siri pengisian ilmu ibadah haji dalam menuju Arafah #QuranHour kelapan yang diadakan di Padang Arafah, Makkah pada 9 Zulhijah 1444H bersamaan 27 Jun 2023.

“Pada tahun ini, program berinteraksi bersama al-Quran melalui baca, faham dan amal membawa tema 'Syukur membina takwa' dengan berpandukan Surah Al-Insan dan Surah Al-Hajj. Arafah #QuranHour diadakan sempena perhimpunan terbesar umat Islam di Padang Arafah pada hari tersebut.

“Pada 2016, WUIF menghantar wakil untuk melaksanakan Arafah #QuranHour dengan kerjasama pihak Lembaga Tabung Haji (TH) dan Menteri Agama. Tahun berikutnya, pihak penganjur bekerjasama dengan beberapa operator haji untuk mengadakan program tersebut di sana,” katanya.

Marhaini
Marhaini

Marhaini memberitahu, tahun ini, WUIF dengan sokongan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dengan kerjasama pihak TH mengadakan program berinteraksi dengan al-Quran pada Hari Wukuf.

Menurutnya, program Arafah #QuranHour akan bersiaran secara langsung di Padang Arafah pada jam 5.30 petang (waktu Malaysia) pada 9 Zulhijah 1444H di platform digital World #QuranHour dan Sinar Islam Plus.

Beliau menjelaskan, WUIF juga menguar-uarkan kepada 30 negara yang pernah menyertai World #QuranHour 1444H untuk melaksanakan program tersebut di khemah mengikut negara masing-masing.

Katanya, ada kalangan Sahabah al-Quran yang turut sama mengusahakan untuk membina rangkaian di luar negara bagi menggerakkan kempen berinteraksi bersama al-Quran.

“Pengajaran dan pendidikan haji sangat luar biasa. Pada Hari Arafah, ia memberi peringatan dalam misi Surah Al-Insan iaitu 'Memanusiakan Manusia' dan momentum untuk membina semula kerangka fikir dan sistem operasi diri dalam kalangan para jemaah di seluruh dunia.

“Kita semua ingin mencapai haji mabrur. Oleh itu, Road to Arafah #QuranHour memberi perkongsian ilmu kepada bakal dan alumni haji sebagai persiapan mental dan spiritual supaya mereka ada bercita-cita untuk menjadi orang lebih baik,” ujarnya.

Tambah Marhaini, Surah Al-Insan mempunyai 11 karakter al-Abrar iaitu amanah, takwa, infak, ikhlas, berorientasikan akhirat, teguh, sabar, kawalan diri, taat, bina jiwa dan syukur.

“Dengan memupuk ciri-ciri al-Abrar dalam didikan haji tahun ini, kita berharap para jemaah haji dan alumni menjadi ejen perubahan dalam negara.

“Al-Abrar dan mabrur daripada asal perkataan al-birru yang bermaksud kebaikan dalam ketaatan. Karakter al-Abrar dikaitkan Surah Al-Haj dengan harapan agar duyufurrahman menjadi orang al-Abrar dan mendapat haji mabrur (diterima),” ulasnya.

Justeru itu, para jemaah haji, bakal haji dan alumni haji dialu-alukan bersama pihak TH atau agensi swasta (secara individu atau berkumpulan) untuk menyertai Arafah #QuranHour dengan mendaftarkan penyertaan di pautan https://bit.ly/HOTSPOTAQH.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan bahan Arafah #QuranHour 1444H, orang ramai boleh melayari pautan https://bit.ly/AQH2023.