Covid-19: Tidak semua peniaga Pasar Besar Seremban perlu saringan

Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan nafi seramai 600 peniaga di Pasar Besar Seremban diarah jalani ujian saringan koronavirus (Covid-19).
Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan nafi seramai 600 peniaga di Pasar Besar Seremban diarah jalani ujian saringan koronavirus (Covid-19).
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan menafikan seramai 600 peniaga di Pasar Besar Seremban yang mempunyai kontak rapat dengan kluster Pasar Borong Selayang perlu membuat saringan koronavirus (Covid-19).

Pengarahnya, Datin Dr Harlina Abdul Rashid berkata, sebaliknya mereka yang diarahkan Pejabat Kesihatan Daerah Seremban sahaja yang perlu hadir menjalani saringan berkenaan.

"Bagi mereka yang tidak mendapat arahan tidak perlu hadir membuat saringan.

"Jadi merujuk kepada artikel yang diterbitkan oleh sebuah akhbar tempatan dan telah tular di Facebook berkenaan seramai 600 peniaga barangan basah disahkan mempunyai kontak rapat dengan kluster Pasar Borong Selayang dan 18 daripada mereka telah pun buat saringan Covid-19 adalah tidak tepat," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Pejabat Kesihatan Daerah Seremban akan menjalankan beberapa siri aktiviti saringan dalam kalangan peniaga di Pasar Besar Seremban yang mempunyai kaitan dengan kluster Pasar Borong Kuala Lumpur.

Sementara itu menurut sumber, kakitangan kesihatan membuat saringan awal secara temu bual terhadap peniaga sayur dan ikan di Pasar Besar Seremban seawal jam 9 pagi hari ini.

Bagaimanapun media tidak dibenarkan masuk untuk membuat liputan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati operasi di pasar itu berjalan seperti biasa dan seperti yang diamalkan sebelum ini, orang ramai dikehendaki beratur dan diperiksa suhu badan sebelum dibenarkan masuk.

Artikel Berkaitan: