PKP: Ketupat palas Che Non tetap laris

Che Non menunjukkan ketupat palas yang baru sahaja dimasak.
Che Non menunjukkan ketupat palas yang baru sahaja dimasak.
A
A
A

ALOR SETAR - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu tidak menjejaskan punca rezeki seorang pengusaha ketupat palas di Kampung Belukar, di sini memandangkan permintaan pelanggan ke atas jualannya masih meningkat.

Che Non Ahmad, 50, mengusahakan Ketupat Palas Sejuk Beku Hutan Kampung berkata, bahkan permintaan terhadap ketupat palas buatannya dijangka meningkat sekali ganda berbanding kira-kira 20,000 kilogram pada tahun lalu.

"Walaupun dalam tempoh PKP ini, sebelum puasa lagi saya sudah menerima tempahan yang tidak putus putus selain pembelian pukal daripada pelanggan seperti yang tinggal di Kuala Lumpur dan Johor Baharu.

"Permintaan yang tinggi ini mungkin disebabkan oleh jualan terbuka yang dilakukan oleh kami selain kaedahnya juga terpaksa ditukar daripada kebiasaan disebabkan oleh kekangan pergerakan. Syukur walaupun macam-macam halangan namun permintaan terhadap ketupat palas meningkat,"katanya ketika ditemui di kediamannya semalam.

Menurutnya, sebelum ini terdetik di hatinya jika permintaan terhadap ketupat palas sejuk beku diusahakannya itu bakal berkurangan berikutan penularan pandemik koronavirus (covid-19) memberikan impak kepada pengusaha perniagaan kecil dan sederhana (PKS) sepertinya.

Che Non berkata, kira-kira 200 kilogram ketupat palas dihasilkan sejak awal tahun dan disimpan di dalam kontena sejuk beku bagi persediaan sambutan puasa dan hari raya Aidilfitri tahun ini.

Bagaimanapun, mereka menghentikan sementara operasi selepas PKP dikuatkuasakan kerana bimbang permintaan akan berkurangan namun sebaliknya pula yang berlaku.

"Kami memulakan semula operasi selepas keadaan sudah reda namun dalam bilangan pekerja yang lebih kecil dan tempoh operasi juga dihadkan seperti yang diarahkan oleh kerajaan. Sebelum ini kami boleh bekerja sehingga malam namun semasa tempoh PKP setakat 6 petang sahaja,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Che Non bersama suaminya, Tarmizi Yaacob melihat ketupat palas sejuk beku yang diletakkan di dalam kontena di Kampung Belukar, Hutan Kampung, Alor Setar.
Che Non bersama suaminya, Tarmizi Yaacob melihat ketupat palas sejuk beku yang diletakkan di dalam kontena di Kampung Belukar, Hutan Kampung, Alor Setar.

Menurutnya, pihaknya turut mengupah dua penghantar makanan kerana mengalami masalah untuk bergerak disebabkan perlu mengehadkan pergerakan sepanjang tempoh PKP ini.

"Seorang diupah untuk menghantar bekalan ketupat palas ini ke seluruh negeri Kedah dan seorang lagi menggunakan van bagi memenuhi permintaan di luar Kedah seperti di Kuala Lumpur. Sebelum ini saya banyak menggunakan khidmat bas untuk menghantar ketupat namun disebabkan PKP, banyak cara kerja dan penghantaran sebelum ini perlu diubah,"katanya.

Tambah Che Non lagi, dia bersyukur ketupat palas sejuk beku yang diusahakannya secara besar-besaran itu semakin berkembang sejak 6 tahun lalu malah mampu berkongsi rezeki dengan mengupah penduduk kampung bekerja dengannya.

"Saya bermula berniaga ketupat sejak tahun 1993 lagi di pasar-pasar malam sekitar Alor Setar dan kini mula memfokuskan secara besar-besaran kaedah sejuk beku sejak tahun 2014,"katanya.

Saya mengeluarkan empat jenis ketupat yang berbeza untuk dijual seperti ketupat palas biasa, ketupat palas jagung, ketupat palas kacang dan ketupat pulut hitam dengan harga jualan RM24 sekilogram,"katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Mohd Zaki Syafiq Zulkifli berkata, produk Ketupat Palas Sejuk Beku Hutan Kampung menjadi tumpuan ramai kerana boleh didapati pada bila-bila masa.

"Ketupat ini sejak ibu bapa saya lagi yang beli dan kemudian jadi kegemaran saya pula. Bila mahu beli datang je ke sini untuk beli, lagipun dekat dengan rumah. Harga ketupat yang dijual pun berbaloi,"katanya.