Habitat tidak diceroboh punca tangkapan sotong meningkat

Antara sotong yang dijual pada harga rendah di Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu.
Antara sotong yang dijual pada harga rendah di Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Habitat yang masih terpelihara dan tidak diceroboh antara sebab peningkatan tangkapan sotong yang disifatkan sebagai luar biasa di daerah Kemaman dan Dungun.

Pensyarah Kanan Bidang Teknologi Alatan Perikanan dan Ekologi Perikanan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Fazrul Hisam Abd Aziz berkata, kawasan perairan di dua daerah itu memiliki banyak kawasan berbatu yang selamat dari ancaman pukat tunda.

Menurutnya, selain kawasan perairan yang tidak diceroboh, sumber makanan yang banyak menyebabkan sotong-sotong lebih tertumpu untuk terus membiak di kawasan itu.

"Kawasan berbatu secara tidak langsung mewujudkan ekosistem dasar laut yang sihat serta menjadi daya tarikan untuk menjadi 'lubuk' pembiakan sotong.

"Ekosistem dasar laut yang sihat dengan terumbu karang yang banyak boleh melindungi telur yang dihasilkan spesies haiwan marin itu. Ia secara tidak langsung menjadi lokasi tumpuan hidupan itu untuk membiak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Beliau memberitahu, kawasan seperti di perairan Marang, Kuala Terengganu dan Setiu sebelum ini menjadi lokasi tumpuan untuk aktiviti mencandat sotong dan dipercayai sedikit sebanyak mempengaruhi populasi hidupan itu.

"Faktor-faktor yang disebutkan itu dipercayai antara sebab mendorong kepada peningkatan tangkapan, namun ia memerlukan sokongan kajian lebih terperinci dari segi saintifik.

"Dapatan kajian yang lengkap seperti kawasan pembiakan, kualiti air, kepadatan plankton, habitatnya, waktu puncak kehadiran sotong boleh dilakukan sekiranya perlu bagi membuktikan kebenaran faktor yang telah dinyatakan itu," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial tangkapan sotong yang banyak di Dungun dan Kemaman dan situasi itu dilihat agak luar biasa berbanding tangkapan sumber makanan yang sama di daerah lain.

Situasi itu memberi limpahan rezeki buat kebanyakan pengusaha bot kerana ramai pelancong dari luar berminat menyewa bot mereka untuk mencandat sotong.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!