Mahkamah Syariah di Melaka beroperasi dua hari seminggu

Mahkamah Syariah Melaka. Gambar kecil: Sulaiman Md Ali
Mahkamah Syariah Melaka. Gambar kecil: Sulaiman Md Ali
A
A
A

MELAKA TENGAH - Mahkamah Syariah di semua daerah diberikan kebenaran untuk beroperasi dua hari seminggu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat setelah ia mendapat persetujuan Hakim Syarie Negeri Melaka.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, kebenaran operasi itu akan berkuatkuasa pada Isnin ini bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari sahaja membabitkan kes-kes yang terdesak dan memerlukan tindakan segera daripada pihak mahkamah seperti tuntutan perceraian dan sebagainya.

"Mahkamah mempunyai kuasa untuk menentukan kes-kes yang dikategorikan sebagai kes-kes terdesak untuk diambil tindakan segera selain memastikan semua tatacara operasi mematuhi SOP yang digariskan KKM.

"Kerajaan Negeri berharap dengan kelonggaran kebenaran yang diberikan ini mampu memberi kemudahan kepada semua pihak yang terlibat," katanya dalam kenyataan itu di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman berkata, pihaknya memberi kebenaran kepada pegawai-pegawai masjid untuk menunaikan solat tarawih berjemaah di seluruh masjid negeri ini bermula esok.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah perbincangan diadakan dengan Pejabat Mufti Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mencapai kata persetujuan.

"Kelonggaran kebenaran diberikan hanya dikhususkan kepada empat orang pegawai masjid yang mesti mematuhi syarat-syarat tertentu dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pihak berkuasa berkaitan.

"Empat pegawai yang diberikan kebenaran itu terdiri daripada pengerusi masjid, imam, bilal dan siak manakala syarat-syarat lain yang mesti dipatuhi termasuk solat sunat tarawih sebanyak lapan rakaat yang ringkas.

Artikel Berkaitan:

"Tidak menggunakan pembesar suara di luar masjid, mesti ada penjarakan sosial dan tidak terdapat simptom Koronavirus (Covid-19) seperti mengalami batuk, sakit tekak, demam dan sesak nafas," katanya.