Doktor keluar rumah hilangkan serangan panik didenda RM800

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang doktor didenda RM800 di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah keluar rumah untuk menghilangkan serangan panik yang dialaminya.

Tertuduh Kanwaljit Singh Gill, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

Mengikut pertuduhan, Kanwaljit didapati bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain iaitu dari Jalan Vethavanam, Batu 3 3/4 Off Jalan Ipoh ke Jalan Horley Bukit Bintang yang juga kawasan jangkitan kira-kira jam 9.45 malam pada 20 April lalu.

Dia didakwa mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (No. 3) 2020 dan boleh dihukum di bawah peraturan 11(1) akta yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Ahmad Nabil Abd Rani merayu supaya rendah dikenakan terhadap anak guamnya yang tidak bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dia juga menanggung bapanya yang sakit jantung serta ibu yang mengalami penyakit kencing manis.

"Selain itu tertuduh terpaksa keluar rumah kerana masalah serangan panik ekoran lama duduk di rumah berikutan PKP ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar hujah dan rayuan kedua-dua pihah, Aina Azahra memerintahkan Kanwaljit dihukum denda RM800 atau penjara selama sebulan jika gagal membayar denda tersebut.