Lima ahli geng pecah kedai diberkas

Nik Ezanee (kanan) menunjukkan pistol tiruan yang dirampas pada sidang media di IPD Petaling Jaya hari ini.
Nik Ezanee (kanan) menunjukkan pistol tiruan yang dirampas pada sidang media di IPD Petaling Jaya hari ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai lima lelaki dipercayai terlibat dalam kes pecah kedai serbaneka di Taman Medan di sini, pada 10 April lalu berjaya diberkas dalam serbuan berasingan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah menyerbu sebuah rumah di Taman Medan pada 21 April lalu.

“Dalam serbuan jam 9.30 malam itu, dua lelaki berjaya ditahan. Susulan daripada tangkapan itu, kita berjaya menahan dua lagi lelaki di Klang dan Cheras.

“Kemudiannya, kita turut berjaya menahan seorang lagi lelaki yang dipercayai membeli barangan curi di sebuah kedai di Sungai Way,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.

Nik Ezanee berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia 36 hingga 38 tahun di mana empat daripadanya mempunyai rekod jenayah termasuk kes dadah.

“Kita turut merampas empat buah motosikal dipercayai dicuri oleh kumpulan penjenayah itu, dua plastik berisi dadah, tiga telefon bimbit, 174 kotak rokok pelbagai jenama dan 39 peket bateri.

“Siasatan lanjut masih dijalankan ke atas suspek bagi mengenal pasti penglibatan kumpulan itu dalam kes pecah kedai dan rumah. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di Bandar Utama di sini jam 5.10 pagi pada 22 April lalu.

Artikel Berkaitan:

Nik Ezanee berkata, sepasukan polis berjaya menahan suspek berusia 18 tahun pada jam 6 petang di Kampung Ampang Indah, Ampang, kelmarin.

“Kita merampas sepucuk pistol tiruan, beg sandang dan dua telefon bimbit. Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.