Sindiket sembelihan haram tumpas, rampasan RM2.44 juta

Mohd Yusri. Foto: SINAR HARIAN ROSLI TALIB.
Mohd Yusri. Foto: SINAR HARIAN ROSLI TALIB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan sindiket penyembelihan haram yang menggunakan khidmat pekerja bukan beragama Islam dan mengaut keuntungan sehingga RM10,000 sehari sejak hampir empat tahun lalu terbongkar selepas polis menyerbu lapan premis di lima negeri menerusi Op Salju.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan serentak itu mendapati empat daripada lapan premis itu menggunakan pekerja bukan Islam untuk menjalankan aktiviti penyembelihan.

"Daripada lapan premis itu, empat premis menggunakan pekerja bukan beragama Islam untuk melakukan penyembelihan, manakala empat premis lagi menggunakan pekerja beragama Islam.

"Dalam Islam, penyembelihan ini bukan sekadar memotong, (malah) ia adalah ibadah dan mempunyai syarat wajib, antaranya penyembelih mestilah seorang Muslim," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Isnin.

Mohd Yusri berkata, siasatan mendapati sindiket itu beroperasi secara tersembunyi sejak 2022 dengan menggaji 55 pekerja yang dibayar upah antara RM50 hingga RM200 sehari.

Menurut beliau, kegiatan itu mampu menjana keuntungan harian antara RM1,500 hingga RM10,000.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri memberitahu, seramai 745 anggota daripada 10 agensi penguatkuasaan digerakkan secara serentak di 13 negeri bagi memeriksa pasar raya, stor dan pusat penyembelihan yang disyaki terlibat dalam kegiatan berkenaan.

"Hasilnya, kita memeriksa 161 individu dan menahan 96 daripada mereka untuk siasatan lanjut di bawah 15 akta berbeza.

"Nilai rampasan keseluruhan dalam operasi di pusat penyembelihan ini sebanyak RM2.44 juta," tambah beliau.

Dalam pada itu, Mohd Yusri memberi jaminan rantaian pengedaran sindiket terbabit sudah diputuskan sepenuhnya, selain pemantauan berterusan akan dipertingkatkan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain.

"Saya menyeru kepada masyarakat jadilah mata dan telinga kami, jika anda melihat premis penyembelihan mencurigakan dan beroperasi secara tersembunyi, laporkan kepada kami.

"Soal halal ini bukan soal satu agensi sahaja, (sebaliknya ia) adalah soal maruah umat Islam dan tanggungjawab kita bersama," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!