Op Salju: 96 ditahan, rampasan RM32.5 juta

KUALA LUMPUR – Polis melumpuhkan rangkaian sindiket penyeludupan, penyimpanan dan pemprosesan makanan sejuk beku haram menerusi Op Salju 1/2026 yang dijalankan di 13 negeri dengan nilai rampasan keseluruhan RM32.5 juta.
Operasi bersepadu bermula 9 hingga 22 November lalu itu menyaksikan pelbagai produk makanan sejuk beku bernilai RM18.17 juta dirampas hasil pemeriksaan terhadap 68 premis.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kegiatan sindiket itu melibatkan pembekalan dan penyimpanan secara haram selain pembungkusan serta pelabelan semula produk sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
"Penyeludupan makanan sejuk beku tidak boleh dilihat sebagai isu terpencil, sebaliknya mesti ditangani sebagai ancaman penguatkuasaan bersepadu yang mencabar keselamatan sempadan negara, kedaulatan undang-undang perdagangan, keselamatan makanan dan hak perlindungan pengguna.
"Modus operandi dikesan termasuk pengisytiharan barangan yang tidak tepat dan mengelirukan, penggunaan dokumen palsu dan meragukan, kegagalan mengemukakan permit import sah serta ketidakpatuhan total terhadap syarat penyimpanan dan pengedaran," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, pemeriksaan mendapati 55 daripada 68 premis terbabit melakukan pelbagai kesalahan melibatkan 29 stor atau kilang, 18 premis perniagaan dan pasar raya serta lapan pusat penyembelihan.
Menurut beliau, operasi melibatkan 745 pegawai dan anggota daripada Pasukan Gerakan Am (PGA), Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) serta sembilan agensi penguatkuasaan lain itu turut membawa kepada penahanan 96 individu berusia antara 14 hingga 73 tahun.
"Daripada jumlah itu, 41 merupakan warga tempatan, manakala 55 lagi warga asing," jelas beliau.
Beliau berkata, selain produk makanan sejuk beku, pihak berkuasa turut menyita bahan mentah makanan bernilai RM370,139.60, kenderaan dan jentera (RM2.01 juta) serta pelbagai barangan lain bernilai RM12.02 juta.
Katanya, sebanyak 37 kompaun berjumlah RM194,932.59 turut dikeluarkan susulan pemeriksaan di premis terbabit.
Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerahkan maklumat 68 syarikat kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi membantu siasatan lanjut berhubung kemungkinan ketirisan cukai.
"Semua produk makanan sejuk beku yang dirampas pula akan dimusnahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengikut prosedur ditetapkan bagi memastikan ia tidak kembali ke pasaran.
"Impak Op Salju tidak seharusnya diukur berdasarkan 96 tangkapan atau rampasan bernilai RM32.5 juta semata-mata, sebaliknya diukur berdasarkan keyakinan rakyat tentang apa yang mereka makan adalah selamat, bersih dan halal serta dijamin kerajaan.
"Impak bukan sekadar merampas RM32.5 juta, kita merampas kembali kepercayaan rakyat kepada kerajaan, dan kepercayaan itu adalah sesuatu yang tidak ternilai harganya," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
