X

Kindly register in order to view this article
!

42 NGO Islam tuntut kebencian terhadap Rohingya dihentikan

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 42 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim meminta supaya kebencian terhadap etnik Rohingya perlu dihentikan atas nama Islam dan kemanusiaan sejagat.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kempen menimbulkan sentimen kebencian kepada komuniti pelarian yang semakin berleluasa oleh pihak tertentu di Malaysia perlu segera dihentikan.

Beliau berkata, pihaknya kesal dengan kewujudan kempen yang mengguna maklumat tidak berasas, diputar- belit dan menambah-nambah maklumat untuk sengaja menimbulkan kebencian kepada satu-satu komuniti pelarian.

"Malah ada yang sanggup menulis mengenai sejarah yang salah dan tidak berasas mengenai etnik yang ditindas serta bersekongkol dengan rejim penindas yang memang mahu memburukkan dan menjustifikasikan jenayah genosid dan penghapusan etnik yang telah dilakukan berpuluh tahun lamanya.

"Kami kesal berleluasanya 'posting' di akhir-akhir ini dalam media sosial yang mengguna kata-kata keras dan bertentangan dengan akhlak Islam bila menularkan pandangan terhadap pelarian.

"Sudah tentu ini bukan nilai kesopanan dan ketatasusilaan yang dipegang oleh rakyat Malaysia," katanya menerusi satu memorandum di sini.

Menerusi memorandum yang turut dihantar ke Pejabat Perdana Menteri itu, NGO terbabit mahu perbincangan khusus dengan Pesuruhjaya Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang lain.

Mereka turut menuntut supaya Malaysia mengutamakan sudut kemanusiaan dalam mengendalikan kemasukan etnik tersebut yang masuk ke perairan negara.

Selain itu, pertubuhan itu mahu Malaysia perlu mengaktifkan semula gesaannya supaya ASEAN dan PBB mengambil inisiatif tegas secara kolektif untuk menyelesaikan isu pelarian Myanmar yang melimpah ke negara jiran.

Mereka menuntut supaya Myanmar perlu ditekan bagi membolehkan warga Rohingya diterima semula dan kewarganegaraan mereka dikembalikan untuk membolehkan mereka kembali ke tanah air mereka.

Dalam pada itu, pelarian yang ada di Malaysia perlu dikendalikan secara berperikemanusiaan menerusi satu reformasi kerangka polisi migran yang baharu dan jelas ke arah menjaga hak asasi pelarian digubal segera.

Pertubuhan itu juga mahu kerajaan bekerjasama dengan NGO dan UNHCR untuk membantu mereka bagi mendapat makanan asas.

Mengenai ugutan bunuh dan ancaman jenayah, pertubuhan itu juga mahu supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!