Kerajaan disaran lanjutkan program subsidi upah: Mujahid

Mujahid Yusof - Foto Bernama
Mujahid Yusof - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan disaran melanjutkan tempoh program subsidi upah kepada enam bulan berbanding tiga bulan yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) untuk membantu industri menangani keadaan ketika pasca koronavirus (Covid-19).

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, ekonomi domestik paling teruk terjejas susulan pandemik itu kerana dianggarkan akan berlaku penguncupan kepada -2.8 peratus atau perkembangannya sifar peratus.

“Kebanyakan industri seperti pembuatan dari sektor industri kecil dan sederhana (IKS) kerugian pendapatan hampir 50 peratus sehingga mereka terpaksa memberhentikan pekerja, memaksa cuti tanpa gaji atau melakukan pengurangan gaji pekerja.

“Selain itu, kerajaan juga disarankan berunding untuk memberi sedikit kelegaan kepada industri pembuatan yang bukan asas untuk beroperasi pada kadar 50 peratus kekuatan kerja bagi meneruskan keperluan domestik dan luaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, pekerja yang mendapat moratorium enam bulan pembayaran kredit juga patut tidak dibebankan dengan kadar bunga yang akan dikompaunkan selama penangguhan bayaran.

“Dicadangkan moratorium kredit dikurangkan kadar faedahnya atau pun dihapuskan sahaja untuk meringankan beban pekerja setelah tamat penangguhan bayaran.

“Kerajaan juga disarankan membantu kumpulan yang bekerja sendiri khususnya di sektor pelancongan yang terjejas teruk. Punca pendapatan dari rantaian pelancongan seperti pengendali chalet, homestay peniaga makanan dan minuman serta pengendali khidmat pelancongan dan majlis secara persendirian kerana mereka turut terjejas dengan tiadanya pelancong yang datang sepanjang 2020,” katanya.

Mengulas lanjut menurutnya, secara keseluruhannya, ekonomi dunia pasca Covid-19 dijangka berlaku penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global kepada 0.4 peratus dari unjuran awal AS$86.6 trilion tahun lalu yang bermakna ekonomi dunia mengalami kerugian sebanyak AS$3.5 trilion.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menganggarkan seramai 500 juta penduduk dunia akan jatuh miskin kesan daripada ekonomi dunia yang terjejas teruk.

"Penduduk rantau Asia Pasifik paling terkesan dengan unjuran 240 juta orang, hampir separuh daripada penduduk dunia.

“Negara akan mengalami unjuran penguncupan pertumbuhan antara 0.4 hingga 2.5 peratus di mana pertumbuhan ekonomi untuk 2020 dijangkakan perlahan dari asal unjuran empat peratus kepada 2.4 peratus.

"Pendapatan negara turut terjejas dengan penurunan harga minyak mentah setong kepada US20 dan dari pendapatan industri pembuatan dan pelancongan,” katanya.

Beliau memberitahu, pelancongan yang menjana RM66 bilion kepada pendapatan negara turut terjejas ekoran sekatan perjalanan antara negara masih berkuat kuasa dan mungkin berlanjutan sehingga hujung tahun 2020.

Jelas beliau, berikutan keadaan itu, industri perhotelan sahaja dianggarkan akan mengalami kerugian sebanyak RM3.3 bilion dan menjejaskan seramai 56,229 pekerja.

Sehubungan itu katanya, pakej rangsangan perlu melihat semua aspek secara terperinci berdasarkan maklumat tepat supaya sasaran bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan tanpa meninggalkan mana-mana pihak berpandukan kepada keberkesanan penyampaian dan pelaksanaan.