Malaysia Airlines terbangkan pakar perubatan China ke Kuching

Malaysia Airlines
Malaysia Airlines
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines menyediakan kesalinghubungan penting kepada pasukan pakar perubatan yang dipilih oleh Suruhanjaya Kesihatan Nasional China untuk berkongsi kepakaran mereka dalam memerangi koronavirus (Covid-19) yang melanda negara ini.

Pakar perubatan dari wilayah Guangdong, China itu tiba di Malaysia pada 19 April untuk menghulurkan bantuan yang sangat diperlukan oleh negara ini dengan memberi penilaian kepada perkhidmatan hospital tempatan dan berkongsi nasihat mengenai kaedah terbaik menangani pandemik itu.

Kumpulan seramai lapan orang yang diketuai Li Jun mempunyai kemahiran dan pengkhususan tinggi dalam pernafasan, rawatan intensif, psikiatri, penyakit berjangkit, analisis data, virologi dan perubatan tradisional Cina.

Pasukan berkenaan diterbangkan ke Kuching menerusi penerbangan MH2536 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2.05 petang hari ini.

“Kumpulan pakar ini dijangka berada di negara ini kira-kira dua minggu dan Malaysia Airlines gembira menjalankan peranannya untuk memastikan Malaysia mendapat banyak manfaat daripada bantuan yang dihulurkan kerajaan China.

“Perkhidmatan tambahan yang kami sediakan hari ini adalah untuk kebaikan seluruh rakyat Malaysia. Dalam keadaan krisis ini khususnya, kami perlu memberi keutamaan dengan melakukan yang terbaik untuk menangani pengurusan pandemik di negara ini.

“Sebagai syarikat penerbangan nasional, kami memikul tanggung jawab tambahan walaupun di luar daripada panggilan bertugas kami,” menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Izham Ismail dalam kenyataan hari ini.

Sejak penularan Covid-19, syarikat penerbangan di bawah MAG iaitu Malaysia Airlines, MABkargo, MASwings dan Firefly dengan sokongan Kementerian Kesihatan (MoH) terlibat dalam pergerakan barangan keperluan kesihatan serta menerbangkan kakitangan perubatan menerusi rangkaian domestik dan antarabangsanya termasuk ke kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Syarikat penerbangan itu turut menempatkan pesawat siap sedia di Lapangan Terbang Subang, KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk mempercepatkan pergerakan ahli profesional dan kakitangan perubatan serta pesakit-pesakit lain (bukan pesakit Covid-19) untuk menyokong usaha keupayaan/pengurusan sumber MoH di seluruh Malaysia. - Bernama