Rakyat Malaysia di Singapura perlu mohon permit masuk untuk pulang

Permit masuk memudahkan urusan di pintu masuk negara termasuk di Kompleks CIQ Sultan Abu Bakar di Link Kedua pada PKP fasa keempat.
Permit masuk memudahkan urusan di pintu masuk negara termasuk di Kompleks CIQ Sultan Abu Bakar di Link Kedua pada PKP fasa keempat.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura akan mengeluarkan permit masuk atau entry permit untuk rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu namun berhasrat pulang pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengeluaran permit itu bagi mempermudahkan urusan di pintu masuk negara di Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (Link Kedua).

"Permohonan perlu dibuat melalui emel stmsg@mhc.org.sg sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh pulang. Permohonan sudah dibuka dan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura menerima 900 permohonan setakat ini daripada rakyat Malaysia yang berada di republik tersebut.

"Bagi memastikan proses kepulangan berjalan dengan lancar, Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Johor dan Jabatan Imigresen Malaysia membuat keputusan untuk menerima masuk 400 rakyat Malaysia sehari," katannya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Menurutnya, rakyat Malaysia yang pulang dari Singapura akan dikenakan kuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin yang telah diwartakan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, setakat hari ini sebanyak 215 pusat kuarantin beroperasi berbanding 209 pada hari sebelumnya dan seramai 17,265 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

"Seramai 1,155 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dan dikuarantin wajib sejak semalam. Seramai 21,180 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara pula dikuarantin wajib sejak 3 April 2020.

Artikel Berkaitan:

"Sejak 17 April, 7,559 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang," katanya.