Sasaran 40,000 naskhah al-Quran

Hashim (dua dari kanan) menyampaikan naskhah al-Quran kepada Dr Rofina (tengah) di Shah Alam kelmarin.
Hashim (dua dari kanan) menyampaikan naskhah al-Quran kepada Dr Rofina (tengah) di Shah Alam kelmarin.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Kumpulan Karangkraf meneruskan pelaksanaan program wakaf al-Quran bagi fasa kedua pada Ramadan ini bertujuan untuk mencapai sasaran mengumpulkan sebanyak 40,000 naskhah al-Quran.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, agihan wakaf al-Quran fasa kedua bagi itu bertujuan mengaktifkan lebih banyak #QuranCorner di lokasi terpilih seluruh negara.

“Sebanyak 29,562 naskhah wakaf al-Quran Al-Haramain dan al-Quran Multazam Bil Hadis terkumpul sehingga jam 9.30 malam pada Khamis lalu. Diharapkan lebih banyak #QuranCorner dapat kita aktifkan. Alhamdulillah,” katanya kepada pemberita di sini.

WUIF bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), TV Alhijrah, Sinar Harian, Ideaktiv dan Majlis Dakwah Negara mengajak rakyat Malaysia bersama dalam gerakan membina rakyat dengan sistem nilai daripada al-Quran.

Dari kiri, Dr Azah, Hashim dan Mohd Fathir di Klinik Kesihatan Seksyen 7 Shah Alam.
Dari kiri, Dr Azah, Hashim dan Mohd Fathir di Klinik Kesihatan Seksyen 7 Shah Alam.

Terdahulu, sebanyak 35,251 naskhah al-Quran Mu’jam telah diagihkan ke hospital, pusat kesihatan dan pusat kuarantin di seluruh negara dalam program wakaf al-Quran bagi fasa satu.

Klinik Kesihatan Seksyen 7 Shah Alam dan Klinik Shah Alam Seksyen 19 turut menerima wakaf al-Quran menerusi inisiatif #QuranCorner yang disampaikan oleh Sekretariat WUIF, Hashim Anang.

Wakaf al-Quran tersebut diserahkan kepada Ketua Klinik yang juga Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Seksyen 7 Shah Alam, Dr Azah Abdul Samad manakala di Klinik Shah Alam Seksyen 19, ia diserahkan kepada Pakar Perubatan Keluarga, Dr Rofina Abdul Rahim.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dr Azah berkata, naskhah al-Quran tersebut akan digunakan sebaik mungkin bagi memotivasikan kakitangan barisan hadapan klinik.

“Al-Quran ini akan diletakkan di #QuranCorner untuk dimanfaatkan terutamanya pada Ramadan dan kita semua akan bertadarus secara berkumpulan,” katanya.