Golongan kurang berkemampuan dibenar bayar premium tanah secara ansuran

Saarani ketika menjawab soalan Mohd Hafez Sabri (PN-Manjoi) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, pada Khamis.
Saarani ketika menjawab soalan Mohd Hafez Sabri (PN-Manjoi) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak membenarkan bayaran premium tanah secara ansuran bagi membantu golongan kurang berkemampuan menjelaskan kos pelanjutan tempoh pajakan tanah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kemudahan itu disediakan bagi membantu pemilik tanah, khususnya golongan miskin, menyelesaikan bayaran premium tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri.

"Permohonan perlu disertakan surat aku janji untuk menjelaskan bayaran dalam tempoh munasabah yang ditetapkan," katanya ketika menjawab soalan Mohd Hafez Sabri (PN-Manjoi) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Khamis.

Exco Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan GLC Perak itu berkata, kerajaan negeri turut menyediakan ruang rayuan pengurangan premium menerusi Dasar Permohonan Rayuan Pengurangan Premium seperti yang diperuntukkan dalam Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak Bilangan 3 Tahun 2020.

Katanya, rayuan tersebut dipertimbangkan bagi pemohon individu yang benar-benar layak termasuk golongan miskin tegar, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

"Bagaimanapun, ia bukan jaminan pengurangan premium secara automatik kerana tertakluk kepada kelayakan pemohon dan keputusan pihak berkuasa negeri serta dinilai secara kes demi kes," katanya.

Sementara itu, Saarani berkata, bagi mempercepatkan urusan pentadbiran tanah serta memelihara hak dan kepentingan penduduk, kerajaan negeri telah meluluskan penurunan kuasa kepada Pentadbir Tanah Daerah (PTD) dan Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak menerusi Warta Kerajaan Negeri Nombor 2341 bertarikh 16 Disember 2021.

Menurutnya, menerusi penurunan kuasa itu, PTD diberi kuasa meluluskan atau menolak permohonan pelanjutan tempoh pajakan bagi hak milik pajakan mukim kategori kediaman sehingga keluasan 0.8 hektar.

Manakala, PTG Perak diberi kuasa meluluskan permohonan bagi hak milik pajakan negeri kategori kediaman sehingga keluasan 8 hektar.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, penurunan kuasa berkenaan membolehkan permohonan dalam skop ditetapkan diputuskan di peringkat pentadbiran tanah tanpa perlu dibawa secara individu ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

"Dalam hal ini, kelulusan tetap tertakluk kepada Kaedah-Kaedah Tanah Perak 1966 dan ketetapan pihak berkuasa negeri," katanya.

Menjawab cadangan Mohd Hafez supaya kerajaan negeri mempertimbangkan penubuhan tabung khas bagi membantu menyelamatkan pemilikan tanah penduduk Gugusan Manjoi, beliau mengambil maklum cadangan berkenaan untuk perhatian kerajaan negeri.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pemilik tanah supaya tidak terlepas tempoh permohonan pelanjutan pajakan kerana kegagalan berbuat demikian menyebabkan mereka perlu melalui semula proses permohonan seperti biasa.

"Jadi, sesiapa yang berada dalam tempoh tiga tahun sebelum pajakan tamat, mereka perlu memohon untuk pelanjutan," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!