Aset bernilai RM2 juta ditahan dalam Ops Batuan Selangor

Pihak penguat kuasa akan membuka kertas siasatan bagi menyiasat aktiviti yang disyaki membabitkan pengeluaran dan pengangkutan bahan batuan atau mineral tanpa kebenaran.
Pihak penguat kuasa akan membuka kertas siasatan bagi menyiasat aktiviti yang disyaki membabitkan pengeluaran dan pengangkutan bahan batuan atau mineral tanpa kebenaran.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 15 aset membabitkan 14 lori dan sebuah jentera pengorek bernilai kira-kira RM2 juta ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Batuan Negeri Selangor yang dilaksanakan di daerah Sepang dan Hulu Langat selama empat hari berakhir Khamis.

Timbalan Pengarah Pengurusan Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Mohd Nor Shahnaz Md Zahir berkata, operasi yang berlangsung dari 23 hingga 26 November itu dijalankan bagi memperkukuh pemantauan terhadap kemasukan bahan batuan dari luar Selangor.

Beliau berkata, daripada jumlah aset yang ditahan, lapan lori dan sebuah ekskavator ditahan di daerah Sepang, manakala enam lagi lori ditahan di daerah Hulu Langat.

Menurutnya, kesemua aset berkenaan disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti pengeluaran dan pengangkutan bahan batuan atau mineral tanpa kebenaran yang sah.

"Nilai keseluruhan barang kes membabitkan 14 lori dan sebuah jentera ekskavator yang ditahan dianggarkan sebanyak RM2 juta berdasarkan penilaian awal," katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan di Stor Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Seksyen 17, di sini pada Khamis.

Turut hadir Penolong Pengarah Penguatkuasaan, Muhamad Nadzirul Hafiz Md Daud dan Timbalan Pengarah Unit Lombong dan Kuari Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Mustaza Mustafa.

Mohd Nor Shahnaz berkata, operasi bersepadu itu membabitkan tujuh agensi iaitu PTGS, Pejabat Daerah dan Tanah Sepang, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), JMG serta Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Nor Shahnaz (tengah) bersama pegawai dan anggota terlibat dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Batuan Negeri Selangor
Nor Shahnaz (tengah) bersama pegawai dan anggota terlibat dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Batuan Negeri Selangor

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain penahanan aset, tindakan penguatkuasaan turut dilaksanakan oleh PDRM dan JPJ yang mengeluarkan sebanyak 430 saman atas pelbagai kesalahan.

"Daripada jumlah itu, PDRM mengeluarkan 97 saman manakala JPJ mengeluarkan 333 saman," katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk Kanun Tanah Negara, Enakmen Mineral Selangor 2000 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, tindakan itu turut tertakluk kepada peruntukan undang-undang lain di bawah bidang kuasa PDRM berdasarkan kesalahan yang dikenal pasti serta hasil siasatan pihak berkuasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak penguat kuasa akan membuka kertas siasatan bagi menyiasat aktiviti yang disyaki membabitkan pengeluaran dan pengangkutan bahan batuan atau mineral tanpa kebenaran.

Menurutnya, tindakan lanjut termasuk kemungkinan pengenaan kompaun atau denda akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

"PTGS bersama agensi penguat kuasa terbabit akan memastikan setiap kes disiasat secara terperinci dan tindakan sewajarnya diambil," katanya.

Beliau berkata, risikan bagi operasi berkenaan dilaksanakan selama lebih sebulan meliputi seluruh daerah di Selangor dengan tumpuan khusus diberikan kepada Sepang dan Hulu Langat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan Selangor melalui PTGS akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti pengeluaran dan pengangkutan bahan batuan serta mineral tanpa kebenaran.

Menurutnya, kerjasama strategik antara agensi akan terus diperkukuh bagi memastikan sumber tanah dan hasil bumi negeri diuruskan secara teratur, terkawal serta mematuhi undang-undang.

Beliau turut berharap operasi penguatkuasaan bersepadu itu dapat meningkatkan kesedaran semua pihak supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak menjalankan sebarang aktiviti tanpa kebenaran yang sah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!