Gangguan pengangkutan awam: KPM diminta pertimbang kelewatan calon SPM - Mohd Radzi

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta memberi peluang kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lewat hadir ke pusat peperiksaan akibat gangguan pengangkutan awam untuk menduduki peperiksaan seperti calon lain.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, perkara itu dibangkitkannya pada persidangan Dewan Rakyat susulan kejadian menimpa dua calon SPM dari St John’s Institution pada pagi Khamis.
“Di Parlimen, saya meminta KPM turut mengambil kira kemungkinan terdapat calon SPM yang lewat hadir ke pusat peperiksaan akibat gangguan pengangkutan awam. Calon-calon ini perlu diberi peluang seperti calon lain.
“Kalau tidak, kasihan anak-anak kita kalau tak dapat menduduki peperiksaan SPM seperti rakan-rakan lain kerana perkara di luar kawalan mereka,” kata bekas Menteri Kanan Pendidikan itu menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya dilapor mengalami kelewatan berikutan gangguan bekalan kuasa di Stesen Subang Jaya, Glenmarie, Ara Damansara dan Lembah Subang.
Rapid KL menerusi hantaran di media sosial memaklumkan, perkhidmatan tren alternatif diaktifkan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, kedua-dua calon terbabit berdepan gangguan perkhidmatan LRT ketika dalam perjalanan untuk menduduki peperiksaan.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, tindakan pantas penyelia tingkatan lima sekolah berkenaan yang mengambil mereka di stesen LRT membolehkan kedua-duanya menduduki peperiksaan.
Menerusi video persidangan Dewan Rakyat yang dikongsikan bersama hantaran berkenaan, beliau juga membangkitkan masalah kerosakan LRT Laluan Kelana Jaya yang berulang.
Katanya, masalah itu turut menyebabkan ramai pengguna lewat sampai ke tempat kerja sehingga menjejaskan petunjuk prestasi utama (KPI).
“Kalau sebelum ini pelajar datang lewat kerana banjir, ada pelajar yang sakit tak dapat menduduki peperiksaan.
“Ambil salah satu faktor baharu dalam konteks ini bahawa pelajar mungkin lewat kerana terkandas dalam konteks kesesakan atau kerosakan pengangkutan awam,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

