PKP: Warga asing ditahan salah guna dokumen syarikat

Antara lokasi SJR yang dilaksanakan di sekitar daerah Petaling Jaya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Antara lokasi SJR yang dilaksanakan di sekitar daerah Petaling Jaya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
A
A
A

PETALING JAYA - Lima warga asing antara 15 individu yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini sejak semalam sehingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua tangkapan berusia lingkungan 19 sehingga 48 tahun itu ditahan secara berasingan semasa sekatan jalan raya dan rondaan polis.

"Ada antara tangkapan ini dikesan kerana menyalahgunakan dokumen syarikat untuk urusan peribadi.

"Selain itu, pemeriksaan juga mendapati lima tangkapan terbabit adalah terdiri daripada warga asing iaitu empat warga India dan seorang Pakistan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mereka ini ditahan berikutan gagal memberi alasan munasabah mengenai pergerakan ketika berada di luar rumah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran tegas kepada orang ramai supaya mematuhi PKP yang sedang dikuatkuasakan. Kegagalan mematuhi arahan ini membolehkan anda ditangkap dan didakwa di mahkamah," katanya.

Artikel Berkaitan: