Houthi mara ke arah Aden

Konflik yang kembali tercetus itu menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal, dengan sebahagian besar terpaksa bergantung kepada bantuan kemanusiaan.
Konflik yang kembali tercetus itu menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal, dengan sebahagian besar terpaksa bergantung kepada bantuan kemanusiaan.
A
A
A

YAMAN – Kumpulan pemberontak Houthi yang disokong Iran dilaporkan mara sehingga kira-kira 60 kilometer dari Aden, ibu kota sementara kerajaan Yemen yang diiktiraf antarabangsa, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan bandar pelabuhan itu.

Kemaraan berkenaan berlaku selepas pasukan yang menyokong kerajaan berundur dari beberapa kawasan berhampiran Selat Bab al-Mandab, sekali gus memberi ruang kepada Houthi mengukuhkan penguasaan di sekitar laluan strategik berkenaan.

Jurucakap Angkatan Tentera Yemen, Kolonel Majed Abdullah Al-Nuzaily berkata, pasukan kerajaan yang sebelum ini ditempatkan di pantai barat kini bergerak ke utara dan barat Aden bagi membentuk barisan pertahanan bagi menghalang kemaraan kumpulan berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan mengambil serius ancaman itu, namun menegaskan keadaan tidak seteruk seperti yang dilaporkan.

Menurutnya, Aden tidak akan dibiarkan jatuh ke tangan Houthi dan kerajaan yang diiktiraf antarabangsa akan terus beroperasi dari bandar berkenaan.

Pasukan keselamatan kerajaan dilaporkan memperketat kawalan dengan menambah anggota di beberapa pusat pemeriksaan, menggali parit pertahanan serta membina benteng tanah di laluan menuju kawasan barisan hadapan.

Langkah itu diambil bagi menghalang kemungkinan serangan peluru berpandu dan dron Houthi yang turut menyasarkan Aden.

Al-Nuzaily mempertahankan keputusan penempatan semula pasukan pada 15 November lalu dengan menyifatkannya sebagai langkah taktikal bagi melindungi ibu kota sementara itu.

Beliau turut mengakui pasukan kerajaan berdepan beberapa kemunduran ketenteraan, selain memberi amaran bahawa Houthi mungkin membuka medan pertempuran baharu ke arah Aden, Marib atau Shabwah.

Artikel Berkaitan:

Pertempuran di Yemen kembali memuncak sejak Julai lalu selepas tempoh relatif reda susulan gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 2022.

Houthi dilaporkan berjaya menguasai beberapa kawasan strategik termasuk sebahagian pesisir Laut Merah dan kawasan berhampiran Selat Bab al-Mandab, laluan penting perdagangan maritim antarabangsa.

Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yemen turut melancarkan serangan udara terhadap kedudukan Houthi, manakala kumpulan itu pula melancarkan serangan terhadap sasaran minyak, lapangan terbang dan infrastruktur di Arab Saudi.

Konflik yang kembali tercetus itu menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal, dengan sebahagian besar terpaksa bergantung kepada bantuan kemanusiaan.

Al-Nuzaily berkata, kerajaan Yemen tetap berhasrat merampas semula ibu negara Sanaa yang dikuasai Houthi sejak 2014 serta menamatkan kepungan terhadap bandar Taiz.

Bagaimanapun, perkembangan terbaharu menunjukkan pertempuran di Yaman berpotensi memasuki fasa lebih berbahaya sekiranya Houthi terus mara ke arah Aden.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!