Decathlon alami serangan siber, data pelanggan terdedah

Seorang penggodam yang menggunakan nama samaran 4me1 mendakwa mencuri pangkalan data yang dikaitkan dengan Decathlon. Gambar hiasan
Seorang penggodam yang menggunakan nama samaran 4me1 mendakwa mencuri pangkalan data yang dikaitkan dengan Decathlon. Gambar hiasan
A
A
A

ISTANBUL - Peruncit barangan sukan dari Perancis Decathlon mengesahkan bahawa serangan siber di negara itu mendedahkan data peribadi pelanggan, termasuk lebih 130,000 alamat e-mel dan jumlah nombor telefon yang hampir sama, lapor Anadolu Ajansi.

Syarikat itu memberitahu France 3 Hauts-de-France pada Isnin bahawa "akses berniat jahat terhadap data peribadi, termasuk identiti, nombor telefon dan alamat, berlaku di Perancis pada 22 November 2026.”

Kebocoran data berkenaan berlaku melalui satu daripada penyedia perkhidmatan luarannya dan bukannya pangkalan data utama akaun pelanggan syarikat, menurut syarikat itu.

"Pasukan kami segera mengambil tindakan untuk menyekat akses yang diceroboh dan tiada data perbankan atau kata laluan terjejas,” katanya.

Seorang penggodam yang menggunakan nama samaran 4me1 mendakwa mencuri pangkalan data yang dikaitkan dengan Decathlon dan menawarkan empat fail untuk dijual pada awal pagi 23 November, menurut laporan itu.

Fail itu dilaporkan mengandungi 163,646 rekod, termasuk 137,549 alamat e-mel berbeza serta jumlah nombor telefon yang hampir sama, menurut laman sesawang keselamatan siber cyberattaque.org.

Maklumat yang terjejas termasuk nama pertama, nama keluarga dan alamat penghantaran pelanggan. Lebih 4,100 rekod turut mengandungi arahan penghantaran, yang sebahagiannya dilaporkan merangkumi maklumat akses bangunan, butiran interkom dan panduan lain untuk memudahkan penghantar membuat penghantaran.

Satu lagi fail dilaporkan menyenaraikan lebih 250,000 pesanan, termasuk lebih 600 penghantaran yang dijadualkan antara 23 hingga 28 November.

Menurut Decathlon, kebocoran itu menjejaskan sebahagian pelanggan yang membuat pesanan menerusi laman web Perancisnya dan mereka yang terlibat akan dihubungi melalui e-mel.

Artikel Berkaitan:

France 3 memberi amaran bahawa penipu boleh mengeksploitasi maklumat peribadi dan penghantaran yang terdedah dengan menyamar sebagai penghantar barangan Decathlon.

Insiden itu berlaku selepas kebocoran data yang disahkan pada Oktober lalu melibatkan Train Me, anak syarikat Decathlon yang menyediakan perkhidmatan bimbingan sukan. Kedua-dua insiden dilaporkan tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!