Hannah Yeoh, persoalan KLSCAH belum terjawab

Hannah Yeoh, Awang Hashim
Hannah Yeoh, Awang Hashim
A
A
A

SAYA terkejut membaca kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, di Facebook hari ini lanjutan berlangsungnya sesi Kamar Khas Dewan Rakyat pada 23 November. Beliau mendakwa, “Paling puas bila Ahli-Ahli Parlimen pembangkang keluar kamar dengan gembira sebab isu ini sudah jelas kepada mereka.”

Sebagai Ahli Parlimen Pendang yang turut membangkitkan persoalan mengenai premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), saya menolak gambaran bahawa penjelasan tersebut telah memuaskan hati pembangkang.

Gambar kami keluar dari kamar, walaupun tersenyum, bukan bukti bahawa semua persoalan telah terjawab. Senyuman bukan persetujuan, apatah lagi pengesahan terhadap keputusan pentadbiran kerajaan.

Rakan saya, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, turut menyatakan rasa tidak puas hati menerusi Facebook. Beliau mempersoalkan kewajaran perbezaan antara anggaran premium RM4.67 juta dengan kadar nominal RM1,000, iaitu hampir 99.98 peratus serta menuntut ketelusan asas kelulusan.

Dalam catatannya, beliau menyifatkan jawapan menteri sebagai terlalu emosional dan mengalihkan perhatian kepada dakwaan kononnya isu itu dipolitikkan.

Kita akui beberapa penjelasan telah diberikan. Hannah menyatakan bahawa Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), meluluskan kadar tersebut; tanah ditukar daripada kegunaan komersial kepada institusi; dan status warisan kebangsaan sejak 2007 turut diambil kira. Beliau juga menyebut tujuh pertubuhan lain pernah menerima premium nominal seumpamanya.

Menurut penjelasan yang beliau berikan, KLSCAH pada awalnya memohon pembaharuan pajakan sebelum mengemukakan permohonan yang dipinda bagi kegunaan institusi. Tempoh pajakan baharu ialah 99 tahun, bukannya hak milik kekal.

Namun, menjelaskan pihak yang meluluskan sesuatu keputusan tidak sama dengan menjelaskan sepenuhnya kewajaran keputusan itu. Apakah kaedah penilaian yang menghasilkan anggaran asal RM4.67 juta?

Bagaimana pertukaran syarat tanah diterjemahkan kepada premium RM1,000? Apakah pertimbangan, formula, minit mesyuarat dan syarat khusus yang mendasari keputusan berkenaan?

Artikel Berkaitan:

Semua itu wajar ditunjukkan kepada umum, tertakluk kepada peruntukan undang-undang berkaitan. Angka asal dan angka baharu mungkin melibatkan syarat kegunaan tanah yang berbeza justeru perbandingan angka sahaja tidak memadai untuk membuat kesimpulan tentang kerugian hasil.

Sebab itulah dokumen penilaian dan alasan bertulis amat diperlukan, bukan sekadar penerangan umum.

Lebih penting, apakah yang berlaku kepada ucapan Hannah sendiri pada majlis ulang tahun ke-103 KLSCAH pada 14 November?

Ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-103 KLSCAH pada 14 November, Hannah tampil bukan sekadar sebagai penyampai keputusan pentadbiran, tetapi sebagai pemimpin politik yang meraikan kejayaan mendapatkan pengurangan premium daripada kira-kira RM4.67 juta kepada RM1,000.

Beliau mengumumkan dengan penuh kegembiraan, “We have now secured”, merujuk kepada kejayaan memperoleh kadar premium tersebut. Ungkapan berkenaan jelas membina tanggapan bahawa beliau memainkan peranan penting dalam menjayakan keputusan itu.

Lebih menarik, Hannah secara khusus memberikan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai atas usaha memastikan perkara tersebut dapat diselesaikan dengan segera dalam penggal pentadbiran semasa.

Dalam senarai penghargaan panjang yang Hannah ucapkan pada 14 November itu, KSN selaku pengerusi jawatankuasa yang kemudiannya diketengahkan sebagai pihak berkuasa membuat keputusan langsung tidak disebut.

Soalan besar di sini ialah mengapa tokoh politik diberikan penonjolan sedemikian besar ketika kejayaan diraikan sedangkan pihak berkuasa pentadbiran khususnya KSN dijadikan penjelasan utama apabila keputusan dipertikaikan?

Mengapakah dimensi dan naratif politik dalam ucapan 14 November itu langsung tidak diperjelaskan oleh beliau ketika Ahli Parlimen mempersoalkan perkara berkenaan pada 23 November?

Kenyataan media rasmi Jabatan Wilayah Persekutuan bertarikh 14 November turut mengesahkan bahawa Perdana Menteri telah meminta Hannah mencari penyelesaian ketika melawat KLSCAH pada 17 Februari 2026. Hannah sendiri menyatakan beliau mengambil serius arahan itu.

Jika beliau menerima arahan, menyelaraskan usaha penyelesaian dan akhirnya mengumumkan kejayaan, maka adalah munasabah untuk rakyat bertanya apakah sebenarnya peranan beliau sepanjang proses tersebut.

Tidak mempunyai kuasa meluluskan premium secara peribadi bukan bermakna seseorang menteri tidak mempunyai pengaruh, tanggungjawab penyelarasan atau akauntabiliti terhadap proses yang berlaku di bawah pentadbirannya.

Maka persoalannya bukan sekadar siapa menandatangani kelulusan, tetapi siapa yang menggerakkan proses, menetapkan keutamaan dan memastikan permohonan diberi perhatian segera.

Lebih mencetuskan persoalan ialah pengakuan Hannah bahawa Anthony Loke dan Tan Kok Wai sentiasa mengingatkan supaya urusan tersebut diselesaikan dalam penggal pentadbiran ini.

Mengapakah desakan dua pemimpin kanan DAP itu perlu ditekankan dalam majlis pengumuman kelulusan pentadbiran tanah? Adakah ia menunjukkan bahawa pertimbangan politik memainkan peranan dalam menentukan keutamaan pentadbiran?

Persoalan ini menjadi lebih relevan apabila Hannah sendiri mengimbas kembali bahawa pada 2 November 2022, Anthony Loke pernah mengumumkan pencalonannya bersama Teresa Kok dan Tan Kok Wai bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 di pentas KLSCAH yang sama.

Beliau kemudian menghubungkan peristiwa empat tahun lalu itu dengan kegembiraannya membawa berita kelulusan premium tanah, sambil menyatakan harapan supaya pencapaian tersebut menjadi antara sumbangan terbesarnya kepada warga Kuala Lumpur. Mengapakah sejarah pencalonan DAP perlu dibangkitkan ketika meraikan keputusan berkaitan tanah kerajaan?

Apabila Hannah sendiri menghubungkan pentas pengumuman calon DAP pada 2022 dengan kejayaan mendapatkan premium RM1,000 pada 2026, beliau telah membuka ruang kepada persepsi bahawa keputusan pentadbiran itu turut membawa nilai politik kepada partinya.

Persepsi wujudnya balasan politik atau layanan istimewa tidak boleh ditepis semata-mata dengan menyatakan bahawa keputusan dibuat oleh jawatankuasa yang dipengerusikan KSN.

Hannah juga perlu menjelaskan perbandingan tujuh kes yang disebutnya. Adakah keluasan tanah, status warisan, kegunaan institusi, tempoh pajakan dan sekatan pembangunan benar-benar setara?

Sekadar menyebut bilangan penerima lain tanpa memperincikan kriteria tidak cukup untuk membuktikan kesaksamaan layanan. Sekiranya kerajaan berpendapat semua kes itu setanding, bentangkan jadual perbandingan agar rakyat boleh menilainya secara objektif. Jika terdapat perbezaan material, jelaskan pula mengapa kadar yang sama tetap dianggap wajar.

Saya tidak mempertikaikan kepentingan memelihara bangunan warisan, termasuk KLSCAH. Pemeliharaan khazanah sejarah semua kaum memang wajar disokong. Tetapi matlamat yang baik tidak menghapuskan kewajipan menjelaskan penggunaan budi bicara pentadbiran dan kesannya terhadap hasil kerajaan.

Ketelusan juga penting supaya institusi agama, kebajikan, pendidikan dan warisan lain mengetahui sama ada mereka layak menerima pertimbangan serupa.

Pada hemat saya, perbahasan Kamar Khas sepatutnya menjadi ruang menjawab persoalan substantif, bukannya tempat membuat kesimpulan tentang perasaan Ahli Parlimen pembangkang.

Jangan sekali-kali menyamakan gambar bersama, senyuman atau suasana selepas sidang dengan persetujuan terhadap dasar.

Justeru, saya menggesa Hannah menyiarkan asas penilaian, kriteria pemberian premium nominal, syarat kelulusan dan perbandingan kes secara terperinci. Jawab juga persoalan mengenai ucapan beliau pada 14 November, bukan hanya mengulangi bahawa KSN mempengerusikan jawatankuasa kelulusan.

Seorang menteri tidak boleh menggunakan pencapaian pentadbiran untuk meningkatkan kredibiliti politiknya, tetapi apabila timbul kontroversi menjelaskan pula bahawa beliau tidak mempunyai kuasa membuat keputusan. Pengakuan bahawa kuasa kelulusan terletak pada pihak lain tidak dengan sendirinya menjawab persoalan mengenai pengaruh, keutamaan, penyelarasan dan akauntabiliti menteri.

Kredit politik dan akauntabiliti pentadbiran tidak boleh dipisahkan mengikut keselesaan keadaan. Jika mahu tampil di hadapan ketika kejayaan diumumkan, bersedialah juga tampil di hadapan untuk menjelaskan keseluruhan proses apabila rakyat mula bertanya.

Sehingga penjelasan itu diberikan, jangan mendakwa pembangkang sudah berpuas hati. Apa yang kami tuntut ialah akauntabiliti terhadap keputusan melibatkan aset awam. Kredit politik tidak boleh diraikan tanpa kesediaan memikul tanggungjawab menjawab soalan rakyat.

*Datuk Awang Hashim ialah Ahli Parlimen Pendang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!